LABUAN: Kehadiran kira-kira 180 orang alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeriahkan Program 'Sunset Gathering Alumni Chapter Labuan' 2023.

Mereka merupakan alumni yang pernah melanjutkan pengajian di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) serta alumni UMS di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan.

Majlis yang diadakan di Pine Garden, Tunas Hijau Recreation Village Labuan pada 22 Oktober 2023 itu dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

Turut hadir Ahli-ahli Senat dan Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Dr Rizal mencatat sejarah sebagai pelajar pertama dilantik sebagai Pengarah UMSKAL.

Program berkenaan dianjurkan Pusat Alumni UMS dengan kerjasama pengurusan UMSKAL dan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).

Program berlangsung dengan santai berjaya menceriakan alumni-alumni yang hadir dengan pelbagai aktiviti antaranya cabutan bertuah, karaoke, busking serta sesi perkongsian pengalaman oleh alumni.

Datuk Dr. Kasim ketika berucap berharap agar program itu mampu menjejak dan membina hubungan baik dengan alumni bermula di zon Labuan yang jumlah keseluruhannya kini telah mencecah 889 orang.

Beliau juga amat berharap Alumni UMS yang hadir pada majlis itu agar tidak melupakan universiti yang tercinta dan seterusnya menyumbang kepada bakal alumni yang ada.

“Adalah diharapkan agar semua Alumni dapat menyumbang bakti kepada universiti dan menjadikan platform alma mater sebagai satu medan perkongsian kepada bakal alumni.

“Setiap kemahiran, pengalaman dan perkongsian ilmu alumni selepas bergraduat dapat dikongsi bersama dengan para pelajar khasnya dan juga komuniti kampus amnya,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr Arif @ Kamisan Pusiran berkata pihaknya bercadang mewujudkan Kelab Alumni UMS di Kota Kinabalu sebagai hab sehenti alumni.

“Pusat Alumni UMS juga mengadakan kolaborasi bersama dengan 25 syarikat milik alumni dan swasta untuk potongan diskaun bagi alunni dan kakitangan UMS,”katanya.

Tamat.