LABUAN; Seramai 30 pelajar Asrama SMK Kota Marudu gembira mengunjungi Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 1 Disember 2023 (Jumaat).

Ketua rombongan, Joevenron Deisip berkata lawatan itu yang disertai pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 diiringi empat guru dan seorang penyelia asrama.

Beliau yang juga Ketua Warden berkata lawatan itu bertujuan untuk mendengar dan mempelajari program yang dijalankan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMSKAL.

“Pelajar juga turut mengetahui program dan kursus yang ditawarkan di UMSKAL,”katanya.

Tambah Joevenron, rombongan itu turut disertai Rockye Vun Sang, Darwina Rosli, Mastura Umin dan Neela Weina Mahmod.

Joevenron berharap menerusi lawatan itu, semangat pelajar akan lebih berkobar-kobar untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

Taklimat mengenai UMSKAL disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadbir, Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (SHEPA), Dony Lidaus Jinik.

Pelajar dibawa melihat kemudahan makmal Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) di Aras 9 dan mendengar taklimat daripada Pegawai Teknologi Maklumat Kanan FKI, Mohd Nazri Suin.

Mereka turut meninjau pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

“Ahli rombongan turut memeriahkan Tamu Gadang UMSKAL 2023,”katanya.

Tamat.