LABUAN: Kira-kira 350 pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan program Kesedaran Kerjaya di Dewan Kuliah Pusat 1 pada 24 November 2023 (Jumaat).

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), FKAL, Dr Anath Rau Krishnan berkata program itu bertujuan untuk memberi pendedahan tentang bidang insuran yang meluas dan peluang kerjaya yang besar di bidang insuran.

Selain itu, pelajar FKAL juga diberi pendedahan tentang rangka kerjaya yang bermula daripada kesedaran sehingga menjadi role model atau pakar.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Dekan FKAL, Professor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Program Kesedaran Kerjaya bersama Labuan Insurance International Association (LIIA) dan Malaysian Insurance Institute (MII) dikendalikan oleh Principal Officer and Managing Director Asia Reinsurance Brokers, Chairman Labuan International Insurance Association (LIIA), Gerard Roy Suresh Sharma bersama Director, Strategic Partnership and Engagement (MII), Siddhartha Mahalingam.

Turut menyampaikan ceramah ialah Ketua Pegawai Howden PCC (L) Bhd, Abie Pua dan Ketua Pegawai Labuan International Broking Firm, David Yeoh Eng Hock.

Dr Anath berharap dengan adanya program seperti ini dapat membuka peluang kepada pelajar untuk memahami dan mendalami bidang insuran dengan lebih mendalam kerana ianya merupakan bidang yang luas dan mampu memberikan jaminan kerjaya yang cerah.

Turut hadir Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), FKAL yang juga Penyelaras Program, Dr Noor Hassanah Husin.

Program Kesedaran Kerjaya itu dianjurkan bersama FKAL, LIIA dan MII.

Tamat.