LABUAN: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menjayakan Program TownHall Bicara Perpaduan untuk memupuk perpaduan yang memanfaatkan 600 pelajar Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat UMSKAL pada 18 Oktober 2023.

Program dengan kerjasama UMSKAL sebagai platform bagi pelajar untuk terlibat dalam perbincangan yang membina, berkongsi pandangan dan bekerjasama mencapai matlamat bersama.

Program itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan komunikasi terbuka, pemahaman dan perpaduan dalam kalangan komuniti akademik.

Terdahulu diadakan taklimat kenegaraan bertajuk “Merdekakah Kita? Di mana letaknya Patriotik Kita” yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Supian Musa.

Manakala sesi TownHall menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff dan Profesor Kehormat di Universiti Selangor (UNISEL), Prof. Dr. Hajah Arsiah Haji Bahrun @ Bahron yang dikendalikan moderator, Hashimah Hassan.

Turut hadir Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Penolong Pengarah J-KOM Sabah, Dr Diana Dominic, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohd Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin.

Turut diadakan Majlis Tandatangan Surat Niat antara Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Prof Madya Dr Geoffrey dan Pengarah J-KOM Zon Sabah, Milus Alu@And Wahad.

Majlis Tandatangan Surat Niat diadakan untuk penyelidikan dan pembangunan dalam konteks perpaduan dan komunikasi dengan dana peryelidikan permulaan sebanyak RM5,000.

Menerusi program itu, ia memberi pelajar peluang untuk menyuarakan kebimbangan dan pendapat mereka mengenai perkara-perkara penting di peringkat negara dan tempatan.

Selain itu, interaksi langsung ini meningkatkan pemahaman mereka terhadap isu-isu dunia sebenar dan mendorong penyertaan aktif dalam membentuk masa depan negara.

Dengan mengadakan Program Town Hall membolehkan UMSKAL menunjukkan komitmennya dalam memupuk budaya dialog dan inklusiviti.

Pada masa sama, ini membolehkan mereka menangani kebimbangan dan memberikan maklumat tentang pelbagai inisiatif kerajaan, mempromosikan ketelusan dan penyertaan rakyat.

Sementara itu, kerjasama antara FKAL dan J-KOM Zon Sabah dalam penyelidikan dan pembangunan akan menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang isu-isu perpaduan dan komunikasi di Malaysia, khususnya di W.P Labuan.

Tamat.