14 JANUARI 2025 – Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf, Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berjaya melaksanakan program berjudul “Money Matters: Islamic Finance for Kids” di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Labuan Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Lubok Temiang.

Program ini bertujuan memperkenalkan asas kewangan Islam kepada 52 murid Tahun 5 dan 6, dengan harapan memupuk celik kewangan sejak kecil.

Inisiatif ini mendapat sokongan penuh daripada pihak sekolah, termasuk Guru Besar, Ustaz Radzizam Ag Damit serta guru-guru lain seperti Ustazah Nezadeceymalisa Awang dan Ustazah Azura.

Pensyarah Kanan UMSKAL, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali, memainkan peranan penting sebagai penyelaras program.
Beliau memberikan bimbingan rapat kepada 10 pelajar tahun akhir yang menjadi tenaga penggerak utama.

Pihak penganjur diketuai oleh Muhammad Izzudin Ag Ismail sebagai ketua projek, dibantu oleh timbalannya, Nur Solehah Brahim@Ibrahim. Ahli Jawatakankuasa iaitu Dayang Arnie Jammang, Muhammad Zulfahmi Jainin, Nurul Izzati Abbasa, Nur Amani Adibah, Nurhazwani Ashran, Nurul Asyima Ismail, Muhammad Fathi Zaidan, dan Tarmizi Lukman.

Program ini dibiayai sepenuhnya melalui sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui platform Kitafund, dengan jumlah kutipan sebanyak RM800 telah berjaya dicapai dalam tempoh sebulan.
Dana ini digunakan untuk mendapatkan pelbagai keperluan seperti hadiah, makanan, minuman dan cenderamata.

Aktiviti bermula pada pukul 2.30 petang dengan bacaan doa diikuti ucapan alu-aluan daripada Guru Besar, Ustaz Radzizam.

Ceramah bertajuk “Kewangan Islam untuk Kanak-Kanak” disampaikan oleh Dr. Hajah Haneffa, memberikan penerangan yang jelas tentang pengurusan kewangan berdasarkan prinsip Islam.

Bagi meningkatkan interaksi, aktiviti seperti “Money Master Quiz” dan “Money Scavenger Hunt” diadakan untuk menguji pemahaman murid secara santai.

Aktiviti-aktiviti ini berjaya mencetuskan keseronokan sambil mendidik peserta.

Dalam ucapan penutupnya, Dr. Hajah Haneffa menyatakan harapan beliau terhadap manfaat program ini.

“Semoga program ‘Money Matters: Islamic Finance for Kids’ ini menjadi wakaf ilmu daripada kami kepada murid SIRAJ, yang memberi manfaat jangka panjang dalam kehidupan mereka,” katanya.

Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada pihak sekolah yang diterima oleh Guru Besar, Ustaz Radzizam Ag Damit, mewakili seluruh warga SIRAJ.

Penganjur juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada guru-guru sekolah yang memberikan kerjasama erat sepanjang program berlangsung.

Sokongan mereka memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan acara ini.

Program ini memberikan impak besar kepada murid dengan memupuk kesedaran tentang pengurusan kewangan berlandaskan prinsip syariah.

Selain itu, ia berjaya menanam nilai-nilai murni yang relevan dengan kehidupan harian mereka.

Bagi pelajar UMSKAL, program ini menjadi peluang berharga untuk mempraktikkan ilmu dalam dunia sebenar, di samping meningkatkan kemahiran pengurusan dan komunikasi.

Maklum balas positif daripada pihak sekolah dan peserta menjadi dorongan kepada penganjur untuk meneruskan program berimpak tinggi seperti ini pada masa hadapan.

Kejayaan program ini membuktikan komitmen pelajar UMSKAL dalam melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti setempat.

Diharapkan usaha menyemai ilmu kewangan Islam ini dapat diteruskan demi melahirkan generasi celik kewangan, berakhlak mulia, dan berdaya saing.

Tamat.