LABUAN: Pelajar perlu ada daya ketahanan diri, mental, fizikal, psikologikal dan spiritual yang ampuh kerana masa depan negara kita terletak di tangan generasi masa kini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata pelajar perlu sentiasa bersedia menghadapi ujian serta cabaran hidup sepanjang bergelar penuntut.

Tambahnya, jadilah seorang pelajar yang ada sifat hormat dan rendah diri kepada orang tua, kepada pensyarah dan kakitangan.

“Hormati setiap peraturan yang telah ditetapkan di universiti kerana ia akan mendidik anda untuk menjadi seorang yang penyabar, mudah bertoleransi dan memiliki ihsan terhadap rakan sekeliling kelak,”katanya.

Beliau berkata demikian sempena Sesi Meet & Greet Ahli Senat UMS Bersama Pelajar UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Dewan Utama, UMSKAL pada 22 Oktober 2023.

Turut hadir Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL, Dimetio Fernandez Anak Luat.

Dr. Kasim berkata setiap perjalanan ke arah kejayaan itu, tidak akan terpisah daripada kesukaran, kesulitan atau serba serbi kekurangan.

Justeru itu, katanya, pelajar perlu mempunyai sifat kemampanan dalam diri dengan mengekalkan pencapaian yang baik di dalam kuliah.

“Melaluinya, pelajar bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik bahkan mempunyai kemahiran dan kemampuan tertentu iaitu kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah sebagai persediaan menghadapi realiti kehidupan yang sebenar di luar sana.

“Jangan lupa bahawa sebaik-baik pendidik itu, adalah pengalaman yang anda lalui itu sendiri.”katanya. 

Beliau berharap semua pelajar sentiasa menghayati moto UMS iaitu “Bertekad Cemerlang” dan slogan UMS “Leading Towards Innovative Society”.

Dr. Kasim mengingatkan pelajar supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej UMS serta nama baik keluarga selain fokus kepada pembelajaran.

Sementara itu, Dr. Mohamad Rizal berharap dengan kehadiran Naib Canselor UMS dan Ahli-ahli Senat, pelajar akan lebih bermotivasi untuk melanjutkan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik.

Katanya, UMSKAL mempunyai 2,066 orang pelajar yang berasal dari seluruh Malaysia iaitu 725 dari Semenanjung Malaysia, Sarawak (257), Sabah (1,018) dan W.P Labuan (66).

“Mereka melanjutkan pengajian di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) yang telah melahirkan ramai alumni yang berjaya sehingga hari ini sejak UMSKAL beroperasi pada tahun 1999,”katanya.

Dr. Mohamad Rizal mengucapkan terima kasih kepada Sektor Hal Ehwal Pelajar yang mengendalikan program berkenaan.

Tamat.