LABUAN, 21 MEI 2025 – Kesedaran terhadap kesihatan dalam kalangan pelajar wanita terus diperkasa menerusi penganjuran program EmpowerHer Health anjuran Kelab Perbankan dan Luar Pesisir, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang berlangsung di Dewan Kuliah 3, UMSKAL.
Program yang mendapat kerjasama Klinik Rawatan Warga (KRW) UMSKAL itu berjaya menarik penyertaan seramai 70 orang pelajar wanita, bertujuan memberi pendedahan awal berkaitan kepentingan pemeriksaan kesihatan payudara dan pengesanan awal kanser.
Antara pengisian utama program ialah ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Dr. Lily Shuzeen Kimin, pakar perubatan yang berkongsi informasi penting mengenai tanda-tanda awal kanser payudara serta langkah pencegahan yang wajar diambil oleh golongan wanita muda.
Penyampaian beliau yang ringkas, jelas dan berfakta telah membuka mata peserta tentang pentingnya penjagaan kesihatan diri sejak usia muda.
Pengarah program, Ggivyasri A/P Supramany, berkata program ini bukan sahaja menekankan aspek kesihatan wanita tetapi turut mendokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 5 (Kesaksamaan Gender).
“Kami berharap penganjuran program ini akan mencetuskan kesedaran berterusan dalam kalangan mahasiswi untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh, selain melahirkan generasi wanita berilmu dan berdaya tahan,” ujarnya.
Seramai 17 AJK Penganjur terlibat dalam menjayakan program ini, sekaligus memperkukuh semangat kepimpinan, kerja berpasukan dan kesukarelawanan dalam kalangan ahli kelab.
Program ini turut mendapat bimbingan dan sokongan daripada Pensyarah Kanan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Dr. Jaludin Janteng, yang juga merupakan Penyelaras Kelab Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada Dr. Lily Shuzeen sebagai tanda penghargaan, diikuti sesi bergambar kenangan bersama peserta dan penganjur.
Program EmpowerHer Health ini sekali gus membuktikan komitmen UMSKAL dalam mendidik pelajar bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga aspek kesihatan dan kesejahteraan hidup secara holistik.
Jaga Diri Di Mana Jua Anda Berada.