8-9 November 2024, Labuan– Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan hari ini telah menganjurkan Pameran dan Demonstrasi FKAL Stock Trading Competition bertempat di SmartClassroom. Ianya bersempena dengan Karnival STI Madani 2024 dan Tamu Gadang UMSKAL Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Acara yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman praktikal untuk memahami dan mempelajari selok-belok perdagangan di pasaran saham. Ianya juga dapat mengasah kemahiran analisis, pengurusan risiko, dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar.
Pameran dan demonstrasi FKAL Stock Trading Competition ini telah direalisasikan oleh Fasilitator yang terdiri daripada kalangan pelajar tahun akhir bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Anrabangsa (Kewangan Antarabangsa) dengan Kepujian seramai 18 orang dan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran Antarabangsa seramai 2 orang dan Program Ijazah Sarjana Muda Kewangan Antarabangsa (Ekonomi Kewangan) dengan Kepujian seramai 2 orang dengan bimbingan daripada empat orang Mentor iaitu Dr. Aminah Shari, Dr. Siti Nur Aqilah Ab. Wahab, Dr. Emily Yapp Hon Tshin dan Cik Minah Japang.
Demonstrasi ini turut disertai oleh para pelajar daripada kalangan Tahun 1 hingga 6 bagi sekolah rendah, Tingkatan 1 hingga 5 bagi sekolah menengah dan Kolej Vokasional sekitar Labuan. Sebanyak 28 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kerupang, 32 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Tanjung Aru, 35 pelajar dari Sekolah Menengah Mutiara, 35 pelajar dari Sekolah Menengah Pantai, 44 pelajar Sekolah Menengah St. Anthony, 25 pelajar Sekolah Menengah Labuan, 22 pelajar Sekolah Menengan Rancha-Rancha dan 29 pelajar Kolej Vokasional Labuan telah mengikuti dan mengambil bahagian dalam pameran dan demonstrasi ini.
Semua peserta demonstrasi menunjukkan minat yang mendalam pada dagangan saham ini, malah dalam masa yang singkat mereka sudah mahir dan mampu mendapat pulangan pelaburan yang positif hasil bimbingan daripada Mentor dan fasilitator.
Selari dengan hasrat Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal berharap agar program ini dapat melibatkan penyertaan daripada sekolah-sekolah, IPTA, IPTS, industri dan komuniti pada masa hadapan. Pihak penganjur bercadang untuk menambah ketegori sekolah bagi penganjuran Stock Trading Competition 2025 pada masa akan datang.
Dengan penganjuran pameran dan demonstrasi Stock Trading Competition ini, FKAL berharap akan terus memberi inspirasi kepada golongan muda untuk belajar tentang pelaburan dan memasuki pasaran saham dengan cara yang efektif melalui pertandingan sebegini pada masa hadapan.
Tamat.