LABUAN: Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menerima kunjungan hormat daripada Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS di Bilik Kiamsam, UMSKAL pada 14 September 2023. 

Kunjungan hormat ini melibatkan 14 kakitangan FPP yang diketuai oleh Dekan FPP, Profesor Dr. Murnizam Haji Halik dan disertai oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), 10 orang Ketua Program dan 4 orang kakitangan pentadbiran. 

Kunjungan hormat ini diadakan bertujuan untuk membincangkan idea berkenaan pengurusan akademik prasiswazah. 

Perbincangan dua hala ini turut disertai oleh Dekan FKAL, Prof. Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan semua Timbalan Dekan dan Ketua Program FKAL.  

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah berkongsi idea dan solusi yang mampu merangsang kecekapan pengurusan akademik prasiswazah termasuk usaha untuk meningkatkan keberkesanan program mentor mentee. 

Profesor Dr. Murnizam berkata, program mentor mentee perlu memainkan peranan penting sebagai satu sistem sokongan yang kukuh kepada pelajar UMS, terutama dalam menangani masalah akademik pelajar. 

Beliau berpendapat bahawa program ini perlu menjadi satu platform utama kepada pelajar UMS untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada mentor mereka bagi isu-isu yang terkait dengan akademik termasuk isu pendaftaran kursus, prestasi akademik dan syarat graduasi.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Geoffrey pula berkata, sebagai mentor, para pensyarah perlu memainkan peranan yang lebih aktif dengan memastikan sekurang-kurangnya dua perjumpaan diatur dengan mentee mereka bagi setiap semester.  

Beliau juga mencadangkan supaya perjumpaan dengan mentee dijalankan secara santai bagi memberikan keselesaan kepada pelajar dalam  membincangkan permasalahan akademik mereka. 

Selain daripada hal pengurusan akademik, kedua-dua pihak juga telah membincangkan potensi untuk menjalinkan kerjasama penyelidikan berdasarkan bidang kepakaran masing-masing. 

Kedua-dua pihak setuju bahawa bidang psikologi mempunyai hubungan yang relevan dengan bidang perniagaan dan kewangan. 

Terdapat pelbagai faktor psikologi yang menpengaruhi keputusan dari aspek pelaburan dan pengurusan risiko kewangan yang perlu dikaji dengan mendalam bagi faedah industri kewangan. 

Perjumpaan ini diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata daripada kedua-dua pihak sebagai tanda terima kasih di atas kerjasama kukuh yang telah dijalinkan selama ini. 

Tamat.