LABUAN: Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Majlis Anugerah 2023 di Hotel Lazenda, baru-baru ini.

Dekan FKI, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berkata majlis itu diadakan untuk menghargai dan mengiktiraf pencapaian cemerlang semua kakitangan akademik dan sokongan serta pelajar FKI sepanjang tahun 2022.

Katanya, sebanyak 20 kategori anugerah, antaranya Anugerah Akademik, Anugerah HEPA, Anugerah Penyelidikan dan Inovasi, Anugerah Pascasiswazah dan Antarabangsa serta Anugerah Pentadbiran disampaikan pada majlis itu.

“Semoga mereka terus bersemangat untuk menjalankan tugas,”katanya.

Pada majlis itu, Prof Dr Jason Teo Tze Wi dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Akademik, Resti Yuasri (Tokoh Pentadbiran) dan Ezzah Raihanie Azamain (Tokoh Mahasiswa) yang masing-masing menerima wang tunai dan plak serta sijil.

Anugerah utama disampaikan oleh Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Manakala anugerah yang lain disampaikan oleh Dekan FKI, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi.

Dr. Mohamad Rizal yang mewakili Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor turut menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Niat (LOI) antara FKI yang diwakili Dekan FKI, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi dan Exness Investment Bank Limited (EIBL) diwakili CEO & Principal Officer, David Ian Moyes.

Majlis LOI itu turut disaksikan oleh Oh Yee Kang (Head of Labuan, EIBL).

Dr. Mohd Hanafi berkata antara lain objektif LOI berkenaan adalah kerjasama dua hala di antara EIBL dan FKI untuk menawarkan Exness Fintech Scholarship kepada pelajar FKI Kampus Labuan.

“Diharapkan kerjasama di antara Exness Investment Bank Limited dan Fakulti Komputeran dan Informatik akan berterusan pada masa akan datang,”katanya.

Turut hadir Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Professor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan-timbalan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Tamat.