Labuan, 15 November 2025 – Program HE20 Family Day 2025 anjuran Persatuan Mahasiswa Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir (UH6343003/HE20) telah berjaya dilaksanakan di Dewan Utama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dengan penyertaan seramai 116 orang mahasiswa serta kehadiran barisan pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan. Program ini diketuai oleh pengarah program, Ong Tyng Jie, bersama barisan jawatankuasa pelaksana majlis tertinggi dan majlis eksekutif yang terdiri daripada pelbagai unit termasuk Urusetia, Publisiti dan Multimedia, Logistik, Teknikal, Protokol serta Cenderahati yang berperanan penting dalam memastikan perjalanan program berlangsung lancar dan teratur.

Program ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan pensyarah HE20 di samping mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih seimbang, harmoni dan sejahtera. Penganjuran program ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 3: Good Health and Well-Being, SDG 10: Reduced Inequalities dan SDG 16: Peace, Justice and Strong Institutions.

Sepanjang program berlangsung, para peserta dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai dan interaktif seperti senamrobik, permainan berkumpulan dan sukaneka yang merangkumi Catch It Blind, Action Relay, Batu Seremban, Blind Box serta Sepak Bulu Ayam. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh semangat kerjasama, komunikasi dan toleransi dalam kalangan peserta.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Andrew Saw Tek Wei, Ketua Program UH6343003, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha dan komitmen para pelajar dalam menjayakan program tersebut. Menurut beliau, penganjuran HE20 Family Day merupakan satu inisiatif yang amat bertepatan dalam membina suasana kekeluargaan yang positif dalam komuniti HE20.

“Program ini memberi peluang kepada warga HE20 untuk berehat seketika daripada rutin akademik di samping mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah. Suasana santai seperti ini membolehkan kita saling mengenali dengan lebih dekat, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan hubungan yang lebih mesra dalam komuniti,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang terlibat di belakang tabir atas komitmen dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan dalam memastikan kelancaran program ini.

Program ini turut dimeriahkan dengan sesi lucky draw serta penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai tanda penghargaan terhadap penyertaan aktif peserta. Suasana ceria dan penuh keharmonian jelas tergambar sepanjang pelaksanaan program, sekali gus mencerminkan kejayaan objektif penganjurannya.

Secara keseluruhannya, HE20 Family Day 2025 telah berjaya mencapai matlamatnya dalam memperkukuh perpaduan, meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal serta membina hubungan yang lebih erat dalam kalangan warga HE20. Penganjuran program seperti ini memperlihatkan komitmen berterusan persatuan dalam menyokong pembangunan holistik mahasiswa melalui pendekatan berteraskan kebersamaan dan kesejahteraan komuniti.

Sekian.