23 JUN 2024 (AHAD): Persatuan Mahasiswa Fakulti Komputeran dan Informatik Kampus Antarabangsa Labuan (PMFKI-KAL) Sesi 2023/2024 dan Kelab Sukarelawan Siswa UMSKAL (KESUWA-KAL) Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Perbadanan Labuan dan Jabatan Belia dan Sukan telah menganjurkan Program Island Cleaning Explorace (ICE) 2024 di Kawasan Pantai Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sebanyak empat kumpulan yang ahlinya terdiri daripada gabungan mahasiswa UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Rakan Alam Sekitar dan Rakan Muda telah menyertai program ini.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kebersihan kawasan pantai dan persekitaran marin di W.P Labuan.

Di samping membina hubungan baik antara mahasiswa UMSKAL dengan agensi terlibat serta warga W.P Labuan dalam satu program yang bermanfaat.

Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar W.P Labuan, Zuldfazli Zakaria.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama.

Beliau mengingatkan para peserta bahawa kebersihan pantai dan persekitaran marin bukan sahaja penting untuk ekosistem tetapi juga untuk kesejahteraan masyarakat setempat.

Beliau juga berkongsi tentang inisiatif-inisiatif Jabatan Alam Sekitar dalam memelihara alam sekitar dan menyeru semua pihak untuk bekerjasama dalam usaha ini.

Beliau menutup ucapannya dengan slogan, "Alam Sekitar, Tanggungjawab Kita."

Disebabkan cuaca yang tidak mengizinkan, beberapa aktiviti dalaman telah diadakan.

Antaranya, sorakan unik kumpulan masing-masing, kaset rosak dan Pengumuman Perkhidmatan Awam (PPA).

Bagi aktiviti PPA, setiap kumpulan diminta untuk menghasilkan video bertemakan Kesedaran Kepentingan Menjaga Alam Sekitar.

Video PPA itu kemudiannya dimuatnaik dan dikongsi di media sosial peserta untuk capaian umum.

Kesemua peserta telah memberikan komitmen penuh dalam menjalankan semua aktiviti yang dilaksanakan.

Pada akhir program, Kumpulan 2, iaitu Gunung Santubong, dinobatkan sebagai johan bagi aktiviti yang dijalankan.

Naib johan pula dimenangi oleh Kumpulan 1, Gunung Tahan2 dan tempat ketiga jatuh kepada Kumpulan 3, Gunung Tahan.

Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah dan upacara penutupan yang turut dihadiri oleh Dr. Mohamad Fadli Asli, Penyelaras Hal Ehwal Pelajar (HEP) mewakili Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Nurul Asikin Mohd Yusof @ Daud, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Perbadanan Labuan, Hasmizulizam Hamidon, Penolong Pengarah Jabatan Belia dan Sukan W.P Labuan, Tracy Tumay Rigar dan Penyelaras Program ICE UMSKAL Dg Senandong Ajor.

Tahniah kepada semua AJK ICE UMSKAL dan kakitangan dari agensi terlibat yang telah bekerja keras menjayakan program ini dan terima kasih kepada semua peserta yang turut hadir.

Tamat.