LABUAN: Hari Aktiviti Fizikal Sedunia disambut setiap tahun pada 6 April dengan tema tahun ini adalah “Have a good time! Be active!” bagi menggalakkan pentingnya aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek berkata aktiviti fizikal adalah aspek penting dalam keseluruhan kesihatan dan kesejahteraan kita.

Katanya, ia membantu kita untuk mengekalkan berat badan yang sihat, mengurangkan risiko penyakit kronik, meningkatkan kesihatan mental, meningkatkan fungsi kognitif seterusnya mencapai kualiti hidup yang sejahtera.

Namun, katanya, walaupun terdapat banyak manfaat daripada aktiviti fizikal, sebahagian besar penduduk dunia masih belum mencapai saranan aktiviti fizikal seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Penganjuran Karnival Belia Sihat Cergas ini amat bertepatan dan diharapkan dapat mempromosikan hidup yang sihat cergas khusus untuk golongan belia kerana belia hari ini adalah generasi yang akan menjadi pelapis kepimpinan dan menerajui negara pada masa hadapan,”katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Karnival Belia Sihat Cergas Sempena Sambutan Hari Aktiviti Fizikal Sedunia 2024 Peringkat WP Labuan di Dewan Utama UMSKAL pada 21 April 2024.

Turut hadir Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Timbalan Pengarah Kesihatan Labuan (Kesihatan Awam), Dr Mohd Zaki Ab Hamid yang mewakili Pengarah Jabatan Kesihatan WP Labuan, Dr Francis Paul.

Hadir sama Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah, Penyelaras Program Karnival Belia Sihat Cergas, Dr. Ricky Chia Chee Jiun dan Pengarah Program Karnival Belia Sihat Cergas, Chai Zhi Leng.

Simsudin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kesihatan Labuan dan UMSKAL kerana telah berjaya menganjurkan Karnival Belia Sihat Cergas pada 20 dan 21 April 2024.

“Terima kasih juga lepada rakan-rakan strategik Institut Latihan Perindustrian, Kolej Matrikulasi Labuan, Jabatan Belia dan Sukan, Majlis Belia Labuan, Perbadanan Labuan dan Sekolah Menengah Sains Labuan yang menyokong segala usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Semoga inisiatif ini dapat memberi manafaat dan mempromosikan pengamalan budaya hidup sihat aktif selaras dengan matlamat Agenda Malaysia Sihat Sejahtera untuk melahirkan rakyat khususnya masyarakat di Labuan dapat menikmati hidup yang lebih sihat sejahtera,”tambah beliau lagi.

Jelas beliau, kecergasan merupakan keadaan yang sihat yang membolehkan kita melakukan aktiviti harian dengan bertenaga, mengambil bahagian dalam kepelbagaian aktiviti fizikal dan mengurangkan faktor risiko kesihatan. 

Di Malaysia, dalam kalangan orang dewasa, 25.1% menjalani hidup tidak aktif, 38.1% menghidap kolesterol tinggi, 30% menghidap hipertensi dan 18.3% menghidap diabetes.

“Saya percaya apabila kita menjadi lebih aktif, banyak faedah yang dapat dinikmati terutama dari segi kesihatan. rutin aktiviti fizikal yang biasa seperti berjalan, mengayuh basikal dan bersukan dapat memberi kesan yang besar kepada kesihatan kita,”katanya.

Justeru itu, beliau menggesa setiap individu untuk berkomitmen mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal dalam kehidupan harian.

Kita perlu berusaha untuk menjadikan aktiviti fizikal sebagai rutin harian kita, sama ada dengan berjalan, bermain, bersukan, atau melakukan kerja rumah.

Adalah penting untuk diingat bahawa sedikit aktiviti fizikal adalah bermakna dan perubahan kecil boleh memberi impak yang besar. 

Tamat.