11 JANUARI 2025 – Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf, Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa (FKAL), telah menjalankan aktiviti SULAM bagi kursus Pengurusan Waqaf telah menjayakan program “Pembimbing Ibadah Terakhir: Kursus Pengurusan Jenazah Kanak-Kanak” di Sekolah Rendah Agama Islam At-Tarbiyyah Al-Islamiah Pekan Labuan.
Program ini dijayakan dengan usaha ahli kumpulan yang dianggotai oleh Nur Farah Izzah, Dayang Siti Ary Amerah Datu Mohamad Ami, Siti Norhaida Jul, Emelyn Bassal, Nurul Izzati Azwani Lamida.
Selain itu, Nur Syahada, Norhidayah Sabir, Nur Athirah Asmadi, Dayang Ku Nur Azzarina Awang Raduan dan Nur Syafiqa Abdullah.
Seramai 30 murid Tahun 6 dari SRAI At-Tarbiyyah Al-Islamiah menjayakan program yang mendapat kerjasama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan.
Penyelaras Kursus Pengurusan Wakaf, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali berkata program itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid tentang pengurusan jenazah dalam Islam.
Selain itu, katanya, untuk menerapkan ilmu Fardhu Kifayah dalam kalangan kanak-kanak, memberi pendedahan tentang tatacara menguruskan jenazah dengan betul, serta menggalakkan penglibatan aktif generasi muda dalam aktiviti komuniti.
Dalam konteks ini, pengurusan jenazah bukan sahaja merupakan kewajipan agama, tetapi juga satu bentuk sokongan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga.
Mereka diajar mengenai proses memandikan, mengkafankan dan menyembahyangkan jenazah melalui sesi teori dan praktikal yang dikendalikan oleh penceramah berpengalaman iaitu Ustaz Hafizi Ismail, selaku Imam Masjid Sultan Muhamad V Labuan.
Program ini juga merangkumi aktiviti interaktif seperti permainan “Bingo” yang bertujuan untuk menguji pengetahuan dan kefahaman peserta mengenai pengurusan jenazah.
“Program ini diharapkan dapat memberi pendidikan praktikal yang bermanfaat dan menanamkan tanggungjawab sosial kepada murid sejak usia muda.
“Kami percaya bahawa ilmu ini perlu dipelajari dan diterapkan dalam kehidupan,”kata Pengarah Program, Nur Farah Izzah.
Di samping itu, program ini juga selaras dengan matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang menekankan kesejahteraan masyarakat, penggunaan sumber yang bertanggungjawab, serta memastikan layanan yang adil kepada semua tanpa mengira latar belakang.
Dengan pelaksanaan kursus ini, SRAI At-Tarbiyyah Al-Islamiah berharap dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga peka terhadap tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.
Turut hadir Pengerusi LKPIM Labuan, Hajah Rokiah Haji Ibrahim dan Penolong Kanan SRAI, Siti Nurbaiti Rusli.
Tamat.