LABUAN: Seramai 85 orang pelajar SMK Kota Marudu II, Kota Marudu, Sabah mendapat tonik terbaik ketika mengadakan Lawatan Sambil Belajar ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 12 Oktober 2023.

Ketua rombongan, Syed Mohamad Ashraf Mokdin berkata lawatan berkenaan bertujuan untuk menyuntik semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh.

Selain itu, katanya, untuk memberi pengalaman awal suasana universiti yang berbeza dengan sekolah menengah.

“Kami berharap menerusi lawatan itu, ia akan menambah wawasan pelajar untuk memperkayakan potensi diri.

“Malah, lawatan berkenaan menaikkan semangat pelajar untuk melanjutkan pengajian tinggi mereka ke UMS,”katanya.

Pelajar berkenaan yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 3, 4, 5 dan 6 merupakan pelajar yang tinggal di asrama turut disertai 9 warden.

Syed Mohamad yang mewakili Pengetua, Morris Kundapit mengucapkan terima kasih atas layanan mesra pihak pengurusan UMSKAL.

“Lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan dan memperkenalkan universiti sebagai salah satu tempat yang menyediakan peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, pembangunan modal insan dan sahsiah diri,”katanya.

Terdahulu ketibaan rombongan sekolah itu disantuni Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manusia UMSKAL, Mas Adi Alimin.

Selepas taklimat mengenai UMSKAL oleh Mas Adi, diadakan pula taklimat mengenai Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) oleh Pegawai Teknologi Maklumat Kanan FKI, Mohd Nazri Suin.

“Lawatan itu bertujuan untuk mendedahkan dan memperkenalkan universiti sebagai salah satu tempat yang menyediakan peluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, pembangunan modal insan dan sahsiah diri,”katanya.

Mohd Nazri memberikan penerangan tentang program-progam yang terdapat di FKI, fungsi makmal-makmal komputer dan tayangan hasil-hasil projek pelajar tahun akhir.

Pelajar dan guru turut dibawa melawat makmal FKI di Aras 9 dan meninjau pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan.

Tamat.