LABUAN: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Haji Mohammad Yusof Haji Apdal mengadakan Lawatan Rasmi ke Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 26 November 2023.

Ketibaan beliau di pekarangan Bangunan Podium, UMSKAL disambut mesra Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

Turut hadir Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree, Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Sejurus tiba, beliau disambut dengan paluan kompang dan persembahan tarian oleh Kumpulan Taming Mas UMSKAL.

Haji Mohammad Yusof kemudiannya menandatangani buku pelawat dan menerima cenderamata daripada Datuk Dr. Kasim.

Selepas ucapan aluan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor, Pengarah UMSKAL., Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal menyampaikan Taklimat Sejarah dan Perkembangan Semasa UMSKAL di Bilik Eureka, UMSKAL.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi turut mengadakan Sesi Ramah Mesra bersama pelajar dan kakitangan UMSKAL.

Hadir sama Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMSKAL, Dimetio Fernandez Anak Luat.

Dato’ Haji Mohammad Yusof turut meninjau pemandangan menarik Wilayah Persekutuan Labuan dari Aras 13 yang turut menempatkan Balai Cerapan Anak Bulan.

Majlis itu penuh bermakna kerana ia merupakan julung kalinya Dato’ Haji Mohammad Yusof berkunjung ke UMSKAL.

Sesungguhnya warga UMSKAL sentiasa mengalu-alukan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan diharapkan program seperti ini dapat dilaksanakan lagi.

Program lawatan pada hari ini amat bermakna kerana ini merupakan medium untuk warga UMSKAL beramah mesra dan bertemu dengan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dengan lebih dekat lagi sekaligus dapat memperkenalkan kampus cawangan UMS yang pertama telah dirasmikan pada tahun 1999.

Pada hari ini, satu detik bersejarah dilakar di UMSKAL. 

Kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi di UMSKAL akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan dan diharap agar beliau akan terus memacu pertumbuhan universiti di Sabah terutamanya di UMSKAL.

Semoga kemesraan ini akan mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah sedia terjalin antara UMS dan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pada ketika ini, UMSKAL mempunyai 232 orang kakitangan yang terdiri daripada 88 pensyarah di Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB). serta 144 kakitangan pentadbiran.

UMSKAL mempunyai 2,066 orang pelajar yang berasal dari seluruh Malaysia iaitu 725 dari Semenanjung Malaysia, Sarawak (257), Sabah (1,018) dan W.P Labuan (66).

Tamat.