LABUAN: Sebanyak 13 pasukan mengambil bahagian di Kejohanan Liga Sukan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) Tahun 2024.

Ketua Sektor Sukan & Rekreasi UMSKAL, Dr. Ahmad Fadly Abdul Rahman berkata. acara bola sepak disertai 7 pasukan manakala enam pasukan mengambil bahagian dalam acara bola jaring.

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) diwakili pasukan HE19 International Finance, HE20 International And Offshore Banking, HE21 International Marketing, HE22 International Financial Economics dan HE23 Islamic Finance.

Turut menyertai kedua-dua acara itu ialah pasukan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Pasukan Staff UMSKAL FC pula hanya menyertai acara bola sepak.

Dr Ahmad Fadly berkata Sektor Sukan dan Rekreasi (SSR) menganjurkan acara itu sepanjang bulan Mei ini.

Sementara itu, Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid mengalu-alukan penganjuran acara sukan seperti itu untuk memastikan pelajar sentiasa sihat, cergas dan cerdas.

Malah, katanya, menerusi kejohanan itu dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara mereka.

Beliau berharap dan berdoa semoga menerusi kejohanan itu akan melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk mewakili universiti dan negara satu hari nanti.

“Menerusi kejohanan itu dapatlah dieratkan hubungan baik antara pelajar dan kakitangan UMSKAL di bawah satu bumbung.

“Kita mahu pelajar mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, membantu mereka bergiat aktif dalam bidang sukan dan seterusnya memberi ruang dan peluang mewakili UMS dan negara satu hari nanti,”katanya.

Pada masa sama, katanya, kejohanan itu dijadikan medan untuk memilih pemain terbaik dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan untuk mewakili UMSKAL ke peringkat UMS di Kota Kinabalu.

Dr Ahmad Fadly tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua AJK Pelaksana yang komited memastikan Liga Sukan UMSKAL Tahun 2024 berjalan lancar,

Tamat.