26 Jun 2024 (RABU) - Hari ini menandakan pencapaian yang menarik dalam perjalanan kami ke arah memupuk kecemerlangan pendidikan.

Dekan, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berkata kerjasama di antara Fakulti Komputeran Dan Informatik serta Bank Pelaburan Exness Terhad menampakkan kesan transformatif kerjasama industri dan akademik dalam membentuk masa depan yang cerah untuk pelajar kami.

“Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada Exness Investment Bank Limited atas sokongan mereka melalui biasiswa Fintech ini.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar kita malah memperkasa mereka untuk mengejar impian dan aspirasi mereka dalam bidang Sains Data, Kejuruteraan Perisian, Teknologi Multimedia Dan Komputeran Perniagaan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tawaran Biasiswa ‘Exness Fintech Scholarship’ yang diadakan di Bilik Eureka, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Pada majlis itu, seramai lima orang pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima Tawaran Biasiswa ‘Exness Fintech Scholarship’.

Mereka ialah Maslinda Sulaiman. Prince Alexzander Antoh, Seri Suriani Ali Subroto, Siti Hajar Abdul Haming dan Kristie Chiang Shen Shuet.

Majlis penyerahan tawaran biasiswa itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pegawai Utama Exness Investment Bank Limited, David Moyes.

Kepada penerima biasiswa, beliau mengucapkan tahniah atas pencapaian cemerlang yang telah pelajar berkenaan kecapi.

Kami berbangga dengan kerja keras dan kegigihan anda, dan kami yakin anda akan terus cemerlang dalam perjuangan akademik anda.

Dengan kerjasama ini, kita mencapai impak yang ketara terhadap pembangunan dan pertumbuhan berterusan pencapaian akademik pelajar FKI.

Pada masa sama, FKI berharap terdapat peluang kerjasama lain yang boleh dicapai antara dua institusi ini dari segi pelaksanaan inisiatif lain untuk membantu perkembangan akademik universiti.

Turut hadir Ketua Pejabat Cawangan Labuan Exness Investment Bank Limited, Oh Yee Kang, Pengurus Projek CSR Exness Investment Bank Limited, Selina Ng dan Timbalan Dekan Pascasiswazah Dan Antarabangsa FKI, UMS, Dr. Nooralisa Mohd Tuah.

Tamat.