LABUAN: Pelajar tingkatan 4 SMK Labuan, Moses Yii Xi Hong dinobatkan sebagai Tokoh Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2023.

Moses Yii Xi Hong merupakan Ahli Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Kebangsaan dan merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Labuan.

Beliau menjadi salah seorang wakil kepada kanak-kanak Labuan bagi menasihati dan membuat syor kepada kerajaan di peringkat kebangsaan mengenai semua isu dan aspek yang berhubungan dengan pemeliharaan, pelindungan, pemulihan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak.

Beliau menerima anugerah berkenaan daripada Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat WP Labuan 2023 yang diadakan di Dewan Utama UMSKAL pada 25 November 2023.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan, Ansharey Matarsad, Setiausaha Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Labuan, Ustaz Abdul Fattah Abdul Hafiz, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Labuan, Moses Yii Xi Hong dan Ketua Cawangan LPPKN Labuan, Noraini Osman.

Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Labuan dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan dengan kerjasama UMSKAL, Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Labuan, Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak LDA Sungai Bedaun dan Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak Kampung Bukit Kuda.

Sambutan ini melibatkan 100 kanak-kanak dari peringkat umur 8 hingga 15 tahun yang terdiri daripada kanak-kanak Pusat Aktiviti Kanak-Kanak LDA Sungai Bedaun, kanak-kanak Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kampung Bukit Kuda dan pelajar Kompleks Darul Kifayah Labuan.

Pelbagai aktiviti permainan seperti Minesweeper Race, Aeroplane Challenge dan Bingo.

Kanak-kanak juga dilibatkan dengan aktiviti Craft Meets Science iaitu Robotic, Fun Art dan Game Board yang dikendalikan oleh Fasilitator yang terdiri daripada pelajar UMSKAL.

Majlis perasmian diceriakan dengan persembahan tarian dan koir daripada kanak-kanak Pusat Aktiviti Kanak-Kanak LDA Sungai Bedaun dan Kampug Bukit Kuda.

Tamat.