LABUAN – Seramai 200 orang peserta termasuk pelajar IPTA dan sekolah menengah telah menghadiri Program Bicara @ Muzium “Monumen Chimney sebagai Mercu Tanda Sejarah Labuan” yang diadakan di Dewan Kuliah Pusat UMSKAL pada 14 Oktober 2023.

Program itu dianjurkan Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (JMMWPL) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Pengarah Muzium Labuan Muhammad Azam Adnan berkata program Bicara @ Muzium merupakan program signature Jabatan Muzium Malaysia dengan objektif jalinan kerjasama strategik melalui ahli-ahli akademik, para penyelidik dan kumpulan profesional untuk berkongsi ilmu kepakaran dan penyelidikan kepada masyarakat.

Beliau berkata, topik “Monumen Chimney Sebagai Mercu Tanda Sejarah Labuan” anjuran Muzium Chimney merupakan pendekatan signifikan yang dipilih memfokuskan tentang sejarah awal peradaban Labuan daripada perspektif penyelidikan monumen dan konservasi.

Katanya, penganjuran program itu secara langsung mempromosikan sejarah dan peranan Muzium Chimney sebagai tapak ikon kebangsaan perlombongan arang batu yang dikesan antara terawal pernah wujud di Malaysia dan yang kedua tertua di Asia Tenggara.

“Muzium Chimney turut disenaraikan sebagai salah satu tapak budaya dalam Geopark Kebangsaan Labuan yang diisytiharkan secara rasmi pada 16 Disember 2021.

“Menara Chimney yang berusia lebih 100 tahun merupakan main entrance kepada geotapak-geotapak di kawasan Tanjung Kubong”katanya.

Beloau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis itu yang dirasmikan oleh Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Pada program itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Ismail Ali yang berbicara mengenai Chimney Sebagai Mercu Tanda Peradaban Maritim Pulau Labuan.

Manakala tajuk: Monumen Chimney Dari Sudut Pandang Dokumentasi Pemuliharaan Bangunan Warisan di Malaysia disampaikan Pensyarah Pusat Pengajian Perumahan Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr.A. Ghafar Ahmad.

Muhammad Azam berkata, program itu turut dilaksanakan secara kolaborasi dengan Kelab Sukarelawan Siswa UMSKAL (KESUWA-KAL) selaku urusetia bersama.

Tambahnya, program pendidikan ini adalah usaha positif memberi nilai tambah, sumber dan maklumat pendokumentasian sejarah WP Labuan ke arah memacu usaha progresif perpaduan nasional demi memelihara warisan, sejarah dan budaya masyarakat secara berterusan.

Turut hadir Ketua Muzium Chimney, Nurlina Hamzah. Jurutera Awam Kanan JKR Labuan, Dr Muhammad Zaki Abd Manaf, Pengurus Tiara Hotel Labuan, Eugene Chin dan ahli sejarah Labuan, Willie Teo,

Program yang diadakan dari pukul 8 pagi hingga 1 petang itu dimeriahkan dengan persembahan gambus oleh Kumpulan Sidi Gambus Labuan.

Tamat.