11 JANUARI 2025 - Pelajar Kursus Pengurusan Wakaf daripada Program Kewangan Islam Fakulti Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menganjurkan Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop' di Sekolah Menengah Sains Labuan.
Program telah disertai oleh 50 orang pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan (SMSL) bersama Guru Pembimbing, Ustazah Noorain Jumah, Ustazah Nur Amirah Amaninah Nordin dan Ustazah Lily Elmiyanti Kastor.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penyelaras program yang juga Pensyarah Kanan FKAL, Dr Haneefa Muchlis Gazali.
Beliau bertanggungjawab memastikan sepanjang persediaan program sentiasa dalam pemerhatiannya dan dirangka dengan teliti, termasuklah cara pendekatan pelajar bersama pihak yang terlibat.
Dr Hannefa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada pihak Sekolah Menengah Sains Labuan yang telah membantu menjayakan program berkenaan.
Beliau turut berterima kasih kepada penceramah jemputan yang telah memberi kerjasama yang positif kepada pelajar Kursus Pengurusan Wakaf.
Ilmu yang disampaikan Ustaz Azzif Anuwar dari SMK Rancha-Rancha telah memberi ruang kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Labuan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti praktikal seperti flash card, kuiz ringkas berkenaan Al Fatihah, pemindahan ilmu tajwid dan kesalahan dalam bacaan Al Fatihah serta praktikal pembacaan Al fatihah dengan bacaan dan sebutan mengikut makhraj yang betul.
Pelaksanaan program ini diketuai oleh Hakeemudin Halim bersama ahli kumpulannya iaitu Muhammad Yassin Yusli, Muhammad Alhakam, Hazrul Hab Seng, Muhamad Ikhwan Hakim, Siti Raudhah Anuar, Julinah Kayapis, Saidatul Fatihah Jamaludin, Fitria Yusof dan Nur Suhaila Ahmad.
Program Path to Perfection: Al-Fatihah Workshop’ telah memberi peluang kepada peserta untuk memahami makna dan pengajaran serta meningkatkan hubungan peribadi dengan bacaan Al-Fatihah, yang merupakan surah asas dalam Islam.
Melalui program ini, penganjur berhasrat membantu pelajar-pelajar memantapkan kemahiran menghafaz dan sebutan yang betul.
Dengan pemahaman yang lebih mendalam, peserta dapat meningkatkan kefahaman agama dan mengaplikasikan pengajaran untuk menjadi lebih aman, adil dan seimbang.
Ini juga menyokong pembangunan masyarakat yang damai melalui pertukaran maklumat dan kerjasama antara penganjur, peserta dan penceramah serta menggalakkan kolaborasi antara komuniti, masjid dan organisasi pendidikan agama.
Tamat.