LABUAN: Pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah. Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya melaksanakan Projek Crowdfunding SULAM (Service Learning Malaysia University for Society) dengan mengumpul dana Crowdfunding sebanyak RM4,030.

Dana ini akan digunakan bagi tujuan kembiri kucing dan anjing terbiar di sekitar Labuan dalam misi mengawal pembiakan kucing dan anjing liar.

Projek ini merupakan kolaborasi bersama UMSKAL, Persatuan Stray Free Labuan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan.

Hasil sumbangan itu telah diserahkan kepada wakil Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan, Dr Larry Dave pada 30 Jun lalu.

Pelajar FKAL yang terlibat dalam menjayakan projek ini ialah Mohamed Ishaq, Afiq Danail, Kelvin Chung, Esther Ku Yin Fei dan Aoudrey James di bawah seliaan Dr Suzillah Sidek selaku penyelaras program SULAM bagi subjek Kewangan Korporat Antarabangsa.

Dr Suzillah berharap projek Crowdfunding SULAM ini dapat mengawal populasi haiwan terbiar di Labuan bagi menjamin kualiti kehidupan yang sihat dan selamat di komuniti setempat.

Selain itu, katanya, projek ini secara tidak langsung menghubungkan lagi jalinan kerjasama di antara UMSKAL dengan komuniti setempat terutama di W.P. Labuan.

Majlis penyerahan dana Crowdfunding ini diakhiri dengan aktiviti gotong royong di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan dengan membersihkan bilik asrama penempatan kucing dan anjing di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Labuan pada 30 Jun 2024.

Aktiviti ini juga turut disertai oleh Penyelaras Program, Dr. Suzillah Sidek dan Setiausaha Persatuan Stray Free Labuan, Anna Leong Siew Fung.

Tamat.