LABUAN, 16 JUN 2025 (ISNIN) – Seramai 10 pelajar dari kursus GT30203 Kewangan Korporat Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), telah melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi di bawah inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Projek bertemakan Bright Minds Corner – Empowering 3M at SK Bebuloh ini memberi fokus kepada murid-murid Kelas Pemulihan yang menghadapi kesukaran menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Antara aktiviti utama ialah penyediaan bahan pembelajaran, sesi pengajaran interaktif, serta menambah baik bilik darjah melalui kerja mengecat, melukis mural, menyusun semula ruang dan penyediaan kemudahan asas.

Dana projek diperoleh sepenuhnya melalui platform crowdfunding MyStartr, yang berjaya mengumpul sebanyak RM4,010.

Pensyarah Kanan dan Penyelaras Projek, Dr. Suzillah Sidek, berkata SULAM bukan sekadar inisiatif akademik, malah merupakan platform holistik yang membentuk jati diri mahasiswa melalui nilai empati, kepimpinan, dan tanggungjawab sosial.

Projek ini juga berperanan sebagai jambatan dinamik yang merapatkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat, sekali gus memperkasa peranan institusi pendidikan dalam pembangunan masyarakat.

Guru Besar SK Bebuloh, Haji Maidan Dali @ Sumardi Yusoff dan Yang Dipertua PIBG, Asmadi Haji Ahmad, menyambut baik usaha pelajar yang memberi impak langsung kepada murid berkeperluan khas. Ahli PIBG, guru-guru serta komuniti setempat turut membantu dalam logistik dan pelaksanaan program.

Sumbangan dana digunakan untuk pembelian peralatan seperti rak buku, langsir, mesin pencetak, mesin laminasi dan kelengkapan digital yang dapat dimanfaatkan secara langsung oleh murid-murid Kelas Pemulihan.

Majlis penutupan projek yang berlangsung di SK Bebuloh dihadiri Dr. Suzillah Sidek, Haji Maidan Dali, Asmadi dan Ketua Projek, Tharini Nair a/p Jayaraj.

Projek berkenaan dijayakan Angelica, Devyaletchumy, Ggivyasri, Glynnisa, Magdalena, Mogana, Narvinaashini, Sanggetha, dan Vaishneevi.

Majlis penutupan turut diserikan dengan kehadiran murid-murid yang gembira melihat transformasi bilik darjah mereka, mencerminkan kejayaan usaha para pelajar.

Projek ini diharap menjadi inspirasi kepada lebih banyak inisiatif pendidikan dan sukarelawan di masa akan datang.

Akhir kata, anak-anak inilah masa depan negara dan pendidikan adalah kunci utama yang akan memacu mereka ke arah kejayaan.

Sekalung penghargaan ditujukan kepada seluruh warga SK Bebuloh dan PIBG atas sokongan berterusan sepanjang pelaksanaan projek ini.