LIMA pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya melaksanakan Projek Crowdfunding SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) dengan mengumpul dana Crowdfunding sebanyak RM2,000 untuk membaiki Gelanggang Bola Tampar di Sekolah Kebangsaan Bukit Kallam (SKBK), Wilayah Persekutuan Labuan pada 22 Jun 2024.

Guru Besar SK Bukit Kallam, Dalilah Desa mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat terutama kepada 5 pelajar FKAL iaitu Muhammad Fauzi, Nurain Nadzirah, Hanif Qhuzairee, Chan Li Ying, dan Nurul Nazirah kerana telah berjaya melaksanakan pembaikan Gelanggang Bola Tampar di SK Bukit Kallam.

Satu usaha yang baik sekaligus memberi manfaat kepada warga sekolah khususnya murid-murid SK Bukit Kallam.

Penyelaras Projek Crowdfunding SULAM Kewangan Korporat Antarabangsa, Dr. Suzillah Sidek berharap Projek Crowdfunding SULAM ini dapat memberi manfaat besar kepada murid SKBK dengan menyediakan ruang yang selamat dan kondusif untuk mereka bersukan, sekaligus dapat meningkatkan semangat dan minat mereka dalam bidang sukan bola tampar.

Pada masa sama, katanya, projek ini secara tidak langsung menghubungkan lagi jalinan kerjasama di antara UMSKAL dengan komuniti setempat terutama di W.P. Labuan.

FKAL UMSKAL mengalu-alukan kerjasama dua hala dengan jabatan dan agensi kerajaan serta NGO untuk bekerjasama menjayakan pelbagai program yang bermanfaat.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan FKAL mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan projek itu.

Majlis gotong royong dan penutupan turut dihadiri Presiden Kelab Bola Tampar Chailuk, Johann Junior Ong di samping Penyelaras Projek SULAM, Dr. Suzillah Sidek dan Guru Besar SK Bukit Kallam, Dalilah Desa.

Kata Dr. Suzillah, kehadiran mereka menandakan kejayaan projek berkenaan yang dijalankan dengan penuh kerjasama antara pihak UMSKAL, SK Bukit Kallam dan komuniti setempat.
FKAL Sedia Membantu Komuniti.

Tamat.