4 JULAI 2024 (KHAMIS) - Projek Warna Percikan pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) yang memaparkan aneka lukisan mural dengan kisah dan bercirikan peralatan tradisional masyarakat berbilang kaum dan bangsa sejarah tempatan bakal menjadi tarikan baharu kepada warga dan pelawat yang melawat SMK Rancha-Rancha.

Pengetua SMK Rancha-Rancha, Ustaz Wan Azman Wan Awang berkata, Projek Warna Percikan merupakan projek kerjasama yang dilaksanakan oleh pelajar FKAL melalui peruntukan daripada UMSKAL.

Perancangan projek bermula pada 2 hingga 12 Jun 2024.

Selama 10 hari pelajar SMK Rancha-Rancha bersama pelajar FKAL telah berkampung di SMK Rancha-Rancha melakar dan mewarna lukisan mural yang dibuat.

Selain itu, projek ini juga dapat mencipta daya tarikan estetik ruang, mengubah dinding kosong menjadi visual karya seni menawan yang memperkayakan alam sekitar dan menyumbang kepada budaya landskap masyarakat.

Apa yang lebih menarik, setiap lukisan telah diberikan logo QR Kod untuk diimbas dan memberikan maklumat tentang alat muzik tradisional yang dilukis.

Ketua projek, Tharshini Ratna Krisnan yang juga pelajar FKAL berkata melalui projek Warna Percikan, adalah diharap dapat mencipta kesedaran antara orang awam dengan pihak sekolah dengan menekankan inovatif mengajar dan pembelajaran dengan strategi atau pedagogi pendidikan.
Projek ini dapat mengintegrasi pelbagai kemahiran dan kerjasama bermakna antara pelajar SMK Rancha-Rancha dan pelajar FKAL UMSKAL.

Hasrat utama SMK Rancha-Rancha berkolaborasi dengan FKAL UMSKAL adalah mengindahkan kawasan sekolah dengan meriah dan mural yang menarik secara visual, pelajar dibekalkan inspirasi dan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Projek ini telah menunjukkan bahawa visual menarik tentang persekitaran boleh memberi kesan positif kepada semangat, motivasi dan pencapaian akademik prestasi pelajar di SMK Rancha-Rancha.

Penyelaras Projek Crowdfunding SULAM Kewangan Korporat Antarabangsa, Dr. Suzillah Sidek mengucapkan terima kasih kepada SMK Rancha-Rancha yang bekerjasama menjayakan projek berkenaan.

FKAL sentiasa mengalu-alukan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan untuk menjayakan pelbagai program yang membabitkan pensyarah, kakitangan dan pelajar.

UMSKAL Bersama Komuniti.

Tamat.