LABUAN: Seramai 30 pensyarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah menjayakan Sesi Perkongsian Ilmu di FKAL Smart Space Classroom pada 14 Mei 2024 (Selasa).

Mereka terdiri daripada pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) di samping kakitangan dan pelajar.

Dua orang penceramah diundang mengendalikan sesi berkenaan iaitu Prof. Dr. Norzaidi Mohd. Daud, Faculty Of Bussines Management, UiTM Shah Alam dengan tajuk ‘Common Mistakes In Thesis Writing’ manakala Dato’ Dr. Shamshudeen Mohd Yunus, Chief Technology Officer Tijarah Holding berkongsi ilmu mengenai ‘Centralized Wisdom,  Decentralized Power.

Dekan FKAL, Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata tujuan majlis ilmu itu diadakan adalah untuk memberi peluang kepada pensyarah, kakitangan dan pelajar UMSKAL untuk menambah ilmu serta pengalaman dalam dua tajuk utama yang dibentangkan penceramah jemputan.

Katanya, Prof Dr Norzaidi berkongsi tentang kesilapan-kesilapan dan bagaimana mengatasi masalah utama dalam penulisan tesis.

Manakala Dato’ Dr Shamshudeen pula berkongsi tentang pemusatan ilmu dan desentralisasi kuasa dalam organisasi dan individu.

“Program itu diadakan sempena Lawatan Penasihat Luar (Akademik/Industri/Alumni) ke FKAL pada 13 dan 14 Mei 2024.

“Saya berharap pengalaman dan pengetahuan yang luas Penasihat Luar itu dapat dimanfaatkan pensyarah, kakitangan dan pelajar yang hadir,”katanya.

Turut hadir Timbalan-timbalan Dekan FKAL, Dr Noor Hassanah Husin (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Dr. Anath Rau Krishnan, (Penyelidikan dan Inovasi) serta Penyelaras Pascasiswazah FKAL, Dr. Andrew Saw Tek Wei.

Sesi soal jawab turut diadakan pada majlis yang diadakan dari pukul 9 hingga 11.30 pagi itu sekaligus memberi manfaat kepada pensyarah, kakitangan dan pelajar yang hadir.

Terdahulu, Prof. Dr. Norzaidi, Dato’ Dr. Shamshudeen dan Herlina Jupiter (Alumni), Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS., Kota Kinabalu menghadiri perbincangan mengenai Program Doktor Falsafah Perniagaan/ Program Ijazah Sarjana Perniagaan (Perniagaan Antarabangsa) bersama pensyarah Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL). Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) di Bilik Mesyuarat Utama FKAL pada 13 Mei 2024 (Isnin).

Ruang dan peluang digunakan sebaiknya oleh pensyarah.

Tamat.