LABUAN: Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabagsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid telah menerima kunjungan hormat daripada Penasihat Luar Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) pada 11 Jun 2024 (Selasa).

Mereka ialah Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Nazri Chik dan Ketua Kluster Ekonomi & Kewangan Islam, Pusat Kajian Pembangunan Lestari & Inklusif Fakulti Ekonomi & Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Shahida Shahimi.

Seorang lagi penasihat ialah dari pihak alumni iaitu Mohd Amir Masmud (Master in Islamic Finance).

Kunjungan penasihat-penasihat luar ini adalah bertujuan untuk menambahbaik kursus pascasiswazah yang ditawarkan di FKAL agar berdaya saing dengan kursus yang ditawarkan di peringkat global. 

Pada masa sama, Mohd Nazri Chik dan Prof. Madya Dr. Shahida Shahmi turut menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan dengan Kewangan Sosial (Social Finance) dan ‘ESG Integration in Islamic Banks Malaysia’ di FKAL Smart Classroom.

Turut hadir pada sesi perkongsian itu termasuk Prof. Madya Dr Rizal Hamid, Dekan FKAL, Prof Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKAL, Dr Anath Rau Krishnan.

Hadir sama Penyelaras Pascasiswazah, Dr Andrew Saw Tek Wei dan pensyarah-pensyarah FKAL.

Dr Rizal berharap perkongsian ilmu itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada FKAL tetapi juga UMSKAL secara keseluruhannya.

“Pengetahuan dan pengalaman Penasihat Luar itu seharusnya dikongsi bersama pensyarah yang akhirnya memberi manfaat kepada FKAL dan UMSKAL,”katanya.

Penasihat Luar FKAL itu turut meninjau pemandangan menarik WP Labuan dan lokasi Balai Cerapan Anak Bulan di Tingkat 13, Bangunan Menara UMSKAL.

Semoga Menjadi Kenangan Abadi.

Tamat.