28 JUN 2024 (JUMAAT) - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengadakan program Mesra Majikan, Taklimat Zakat Pendapatan dan Jerayawara Potongan Zakat Bulanan (PPZ - MAIWP) di Bilik Eureka, Bangunan Menara UMSKAL.

Pada majlis itu diadakan ceramah bertajuk Mesra Majikan ‘Hidup Berkat, Jiwa Sejahtera’ yang disampaikan oleh Penceramah Bebas, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil bersama moderator, Ustaz Arif Zainudin dari PPZ - MAIWP.

Majlis yang bermula pukul 10 pagi itu dihadiri Pengurus Besar Operasi Luar PPZ, Ustaz Fahmi Ismail, Pengarah Pusat Islam UMS, Dr Sarip Adul dan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Hadir sama Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah, Ketua Sektor Pentadbiran dan Sumber Manuisa (SPSM) UMSKAL, Mas Adi Alimin dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMSKAL, Mohd Khairul Isham Abdul Latiff.

Lebih 60 kakitangan UMSKAL menghadiri majlis itu yang dianjurkan PPZ-MAIWP, Pusat Islam UMS dan Sektor Hal Ehwal Islam dan Masjid UMSKAL.

PPZ-MAIWP turut membuka kaunter info zakat dan wakaf, pengiraan dan pembayaran zakat, Skim Kafalah Muzakki (Khairat Kematian), Skim Potongan Zakat Bulanan dan Skim Wakalah iaitu dasar pengembalian wang zakat untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Selain itu, bayaran Wakaf tunai dan Skim Potongan Wakaf Bulanan PPZ-MAIWP.

Dr. Mohamad Rizal berkata, kerjasama seumpana ini perlu diperbanyakkan lagi kerana salah satu daripada fungsi UMSKAL adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Beliau mengalu-alukan penganjuran pelbagai progam yang memberi manfaat kepada kakitangan dan mahasiswa sempena menyambut ulangtahun UMS ke-30 tahun.

PPZ-MAIWP turut menyeru syarikat korporat untuk menunaikan zakat di PPZ-MAIWP agar lebih ramai asnaf di Wilayah Persekutuan, termasuk Labuan dapat dibantu.

Pada masa yang sama, pembayar juga berpeluang untuk mendapat Skim Wakalah iaitu dasar pengembalian semula wang zakat bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan termasuk kakitangan mereka.

Bantu Golongan Yang Memerlukan.

Tamat.