LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) mengadakan Program Fun Sport For UMSKAL adalah untuk menjadikan sukan sebagai budaya dalam kalangan mahasiswa.

Pengarah Kampus UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid berkata pihaknya mahu mahasiswa sentiasa aktif dengan kegiatan sukan dan rekreasi pada setiap hari.

Pada masa sama, beliau mahu menerusi program itu, akan melahirkan pelajar yang sihat, cergas dan cerdas.

“UMSKAL mahu menjadikan sukan sebagai penyatuan dan perpaduan dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

“Kita mahu menjadikan sukan sebagai budaya, ceria dan gembira dalam kalangan mahasiswa sepanjang menjalani kehidupan di kampus,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Fun Sport For UMSKAL Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Utama UMSKAL pada 14 Mei 2024.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengetua Kolej Kediaman, Ts Hadzariah Ismail.

Turut hadir Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL, Dr. Ahmad Fadly Abdul Rahman, Ketua-ketua Sektor dan wakil.

Pada majlis itu diadakan penyampaian sumbangan Insentif Atlet UMSKAL (MASUM) Fasa 1, 2024 dan Penyerahan Bendera Kontinjen UMSKAL ke Kejohanan Olahraga UMS 2024.

Pada tahun ini, Sektor Sukan dan Rekreasi menganjurkan Kejohanan E-Games UMSKAL, Karnival Sukan Massa UMSKAL, Karnival Sukan Indoor UMSKAL, Karnival Sukan Pantai UMSKAL, Tamu Gadang UMSKAL dan Karnival Sukan Pantai Kolej Kediaman UMS (SUKOL).

Sebanyak 8 pasukan mengambil bahagian dalam Liga Sukan UMSKAL 2024.

Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) diwakili HE19 International Finance, HE20 International And Offshore Banking, HE21 International Marketing, HE22 International Financial Economics dan HE23 Islamic Finance.

Manakala pasukan HC12 Multimedia Technology dan HC13 Business Computing mewakili Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Sebuah lagi pasukan ialah Majlis Perwakilan Pelajar / JAKMAS.

Turut mengambil bahagian ialah pasukan Staff UMSKAL FC yang menyertai acara bola sepak 9 Sebelah.

Dr Mohamad Rizal mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar dan staf yang mengharumkan nama UMSKAL dalam arena sukan dan permainan.

“Teruskan bergiat aktif dalam bidang sukan di samping tidak melupakan akademik.

“Terima kasih kepada semua pelajar dan kakitangan yang telah mengharumkan nama UMSKAL,”katanya.

Teruskan Kecemerlangan Anda.