LABUAN, 21 JUN 2025 - Program Transformasi B40 di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (TRANSB40 @UMSKAL) WP Labuan Tahun 2025.
Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan terutamanya Pengarah JKM WP Labuan, Rodin Suri Arif dan penyelaras program serta ahli jawatankuasa pelaksana di atas kejayaan penganjuran Program Transformasi B40 di UMSKAL.
Terima kasih juga memilih UMSKAL sebagai rakan strategik pelaksanaan program ini.
Program Transformasi B40 di Universiti (TransB40@Universiti) merupakan pendekatan proaktif yang diambil dalam membangunkan penerima bantuan ke arah hidup berdikari dan berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarga kerana bantuan yang diterima adalah bersifat sementara dan bukan untuk jangka masa panjang.
Program yang dilaksanakan ini adalah sebagai langkah advokasi tentang pentingnya pendidikan untuk mengubah landskap kehidupan seorang individu dan keluarga mereka.
Terdapat beberapa kajian lepas yang membuktikan faktor pendidikan merupakan salah satu faktor yang tidak boleh disisihkan dalam usaha mengurangkan kemiskinan.
Pendidikan boleh menjejaskan keupayaan seseorang individu dalam mengurus hidup yang berkualiti kerana faktor ekonomi dan sosial bergantung kepada tahap pendidikan yang diterima.
Kemiskinan adalah suatu perkara bukan untuk diwarisi.
Oleh itu, anak-anak dan ibu bapa dinasihatkan untuk terus memberi keutamaan dan dorongan terhadap pendidikan bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi keluarga dan seterusnya keluar dari situasi serta belenggu kemiskinan.
Kita perlu membuka lebih banyak ruang dan peluang dalam usaha untuk menimbulkan rasa cinta anak-anak khususnya dalam kalangan B40 dan anak-anak penerima bantuan sama ada melalui pendidikan formal dan pendidikan tidak formal.
Kita berharap dengan usaha ini dapat memberi peluang kepada anak-anak penerima bantuan JKM merasai suasana dan persekitaran yang disediakan di pusat pengajian tinggi – UMSKAL secara amnya.
Usaha jitu antara pihak UMSKAL bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat WP Labuan dilihat sebagai inisiatif yang dapat memacu ke arah memastikan isu kemiskinan dapat diatasi.
Diharapkan kerjasama yang terjalin ini akan diteruskan pada masa hadapan demi manfaat semua pihak.
Turut hadir Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling JKM Labuan, Rinatho Nunchi, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pembangunan Klien Produktif JKM Malaysia, Mohd Azan Hussin dan Ketua Sektor HEP UMSKAL, Nur Iman Reedzal.
Terima kasih kepada semua.