LABUAN, 14 Jun 2025 (Sabtu) – “Dari harapan ke realiti”, begitulah kisah 10 pelajar Tahun 3 FKAL Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarbangsa Labuan (UMSKAL) yang telah berjaya melaksanakan projek Service Learning Malaysia - University for Society (SULAM) yang membawa perubahan besar kepada persekitaran pembelajaran di Sekolah Rendah Agama (SRA) Al-Lamudin Sungai Bedaun.

Projek Lent of Hope: Revitalizing School Surroundings merupakan sebahagian daripada pembelajaran berasaskan perkhidmatan masyarakat bagi kursus GT30203 Kewangan Korporat
Antarabangsa, di bawah seliaan pensyarah kursus, Dr. Suzillah Sidek.

Projek ini berjaya mengumpul dana sebanyak RM4,149.00 melebihi sasaran asal (RM3,897) menerusi platform KitaFund yang disokong oleh 88 pemberi dana. 
 
Guru Besar SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun, Ustazah Azliena Md.Nor, menyatakan rasa terima kasih yang mendalam atas sumbangan yang diberikan, sambil menjelaskan bahawa kemudahan yang disediakan sangat bermakna bagi murid sekolah tersebut yang sebelum ini terpaksa menunggu di lantai semasa waktu rehat.
 
Kini mereka dapat menikmati keselesaan bangku panjang di luar sekolah.

Majlis perasmian Lent of Hope telah disempurnakan oleh Guru Besar SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun.

Turut hadir bersama Pengerusi PIBG SRA AL-Lamudin Sg Bedaun, Muhamed Zainal Muktar, dan Penyelaras Projek, Dr Suzillah Sidek serta Pengarah Projek, Luke Alex.

Turut diadakan gotong-royong dengan penyertaan aktif daripada 35 orang ibu bapa, guru, serta pelajar UMSKAL, yang mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh antara universiti dan komuniti setempat dalam memastikan kejayaan projek ini.

Antara sumbangan yang berjaya disediakan melalui projek ini adalah tujuh buah bangku kayu panjang, tiga papan kenyataan (softboard) baharu, sebuah rak buku, satu banner jadual
induk sekolah, lapan buah sejadah dan tiga buku Yassin serta mengecat semula tulisan Jawi pada pintu pagar sekolah,

Pelajar FKAL yang terlibat dalam projek ini ialah Luke Alex, Nurilyana Izani, Aisyah Ameerah, Mohd Samsuddin, Khairul Nizam, Nur Atikah, Raynaldi Zico, Mohd Fadzreen, Mohd Nazri dan Ikaafiz.

Semoga projek seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang yang memberi manfaat kepada masyarakat dan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih baik, bukan hanya di SRA Al-Lamudin, tetapi juga di tempat-tempat lain.

Terima kasih para penderma.

Terima kasih warga SRA Al-Lamudin Sungai Bedaun.