10 MEI 2024 (JUMAAT) - Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menganjurkan Majlis Kupi Kupi bersama AJK Ziarah Ramadan Tahun 2024 di Bilik Mesyuarat SHEP, Aras 2, Bangunan Menara UMSKAL.

Turut diadakan majlis penghargaan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Tahun 2022-2023.

Ketua Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Nur Iman Reedzal berkata komitmen kakitangan termasuk mereka yang memberikan sumbangan kewangan amat mereka hargai.

Katanya, kerjasama padu dan erat kakitangan terutama AJK Pelaksana telah membantu menjayakan program tahunan itu.

“Program Ziarah Ramadan 2024 yang diadakan pada 4 dan 5 April 2024 telah berjaya dilaksanakan.

“Kejayaan penganjuran program tahunan itu adalah hasil kerjasama dan komitmen AJK Pelaksana di samping sumbangan kewangan daripada kakitangan UMSKAL,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Majlis Kupi Kupi bersama AJK Ziarah Ramadan Tahun 2024 di Bilik Mesyuarat SHEP.

Turut hadir Penyelaras Program, Mohd Nurulizam Tinggal.

Nur Iman tidak lupa berterima kasih kepada Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid dan Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah yang memberi kebenaran kepada SHEP mengelolakan program dua hari itu.

Pada tahun ini, seramai 28 individu menerima wang tunai dan barang makanan sumbangan kakitangan UMSKAL sendiri.

Mereka membabitkan 12 asnaf, 11 kakitangan yang memerlukan bantuan dan 5 waris kakitangan.

Nur Iman turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua kakitangan yang menyumbang wang, barang makanan dan tenaga serta kakitangan yang menyertai aktiviti ziarah dan penyerahan sumbangan selama dua hari program itu diadakan.

‘Kami berharap sumbangan itu dapat menceriakan asnaf dan kakitangan serta waris menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 2024,”katanya.

Semoga Berjumpa Lagi 2025.

Tamat.