LABUAN: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kolej Universiti AMC telah memeterai satu hasrat kerjasama bagi memperkukuhkan kemajuan akademik antara kedua-dua institusi tersebut.  

Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal mewakili UMS manakala AMC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Bryan Lo Ching Wing menandatangani Surat Hasrat (LoI) kerjasama itu di Kota Kinabalu pada 29 Ogos 2023. 

Dr Geoffrey berkata, menerusi hasrat kerjasama itu, kedua-dua institusi bersedia mencapai matlamat dalam memudahkan pertukaran pelajar, pensyarah, kakitangan, kepakaran, memupuk kerjasama dalam projek penyelidikan, pendidikan, mengadakan sesi latihan, seminar, bengkel, aktiviti akademik dan pendidikan lain yang berkaitan.

“Selain itu, pihak UMS dan AMC juga akan bersama-sama membangunkan program akademik bersama untuk meningkatkan penawaran akademik, meneroka serta melibatkan diri dalam aktiviti kerjasama berpotensi lain yang saling menguntungkan kedua-dua institusi.

“Kedua-dua institusi itu juga kini terlibat dalam membangunkan program ijazah sarjana muda melalui mod pengajian 2U2I (2 tahun di Universiti, 2 tahun di Industri) yang memfokuskan pengurusan hospitaliti.

“Ini kerana Sabah masih perlu untuk memperkukuh industri perkhidmatan untuk membuka jalan ke hadapan dan merealisasikan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan, perjanjian kerjasama itu berpotensi untuk dilanjutkan dengan menggariskan rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) yang berterusan dan penglibatan dalam kerjasama penyelidikan, latihan serta perkongsian akademik.

“Kerjasama penting ini menandakan lembaran baharu bagi kedua-dua institusi ke arah kecemerlangan akademik, pertukaran silang budaya dan pembangunan holistik,” katanya.

Majlis menandatangani Surat Hasrat itu disaksikan oleh Penyelaras PLUMS Luar Kampus, Mary Monica Jiony dan Penyelaras Latihan Industri Program Pemasaran Antarabangsa, Joehan Johari William, Kaunselor Pendidikan / Ketua Pasukan, Nizam Zul Elmi Josit dan Pensyarah merangkap Penyelaras Program, Melissa Della Joy.

Turut hadir, Pensyarah merangkap Penyelaras Program (LBU BABM), Liew Li Ling, Pensyarah merangkap Penyelaras Program (DIDM), Noratina Kellysha Jemsa, Pensyarah merangkap Penyelaras Program (DIBA/ CIB), Christiana Jonut dan Reka Bentuk Grafik merangkap Eksekutif Kreatif, Shazwi Izzry Anwar.Tamat.