UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Neurogine Sdn Bhd mengumumkan pelancaran Inisiatif Hab Bakat Teknologi UMS (UMS T2H) 2024, yang bertujuan untuk memupuk inovasi teknologi dan mencungkil bakat kepimpinan generasi teknologi akan datang.

Inisiatif UMS T2H 2024 menunjukkan komitmen universiti untuk memajukan pendidikan dan kerjasama industri dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi blockchain.

Inisiatif ini dijayakan melalui kerjasama antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Neurogine Sdn Bhd, dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Madya Dr Mohd Rizal Abdul Hamid berkata, "Inisiatif ini dibangunkan sebagai platform untuk menarik ahli teknologi masa depan dan pencetus inovasi.

Katanya, ia adalah ruang yang mana cita-cita mereka boleh dicapai, mereka akan dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan dan peluang untuk memberi impak yang berkekalan.

”Kami teruja untuk menyaksikan kejayaan inovasi daripada usaha dan kreativiti pelajar,”katanya dalam ucapan alu-aluannya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen Chee Onn pula berkata, “Neurogine komited untuk memupuk pemimpin masa depan dalam bidang teknologi, kewangan dan pemasaran.

”Kami juga teruja untuk menjadi sebahagian daripada UMS T2H 2024 dan mengambil peranan sebagai penaja utamanya.”

“UMS T2H 2024 selaras dengan nilai kami, terkandung dalam temanya, “Idea, Inovasi dan Inspirasi”.

Katany,a, Neurogine telah berada di barisan hadapan dalam inovasi, perintis tokenisasi pembayaran dan penyelesaian blockchain kewangan sejak 2020.

“Inisiatif ini akan menyokong dan memupuk minda yang cerah, memberi manfaat kepada golongan muda, untuk golongan muda dan disokong oleh industri.

“Kami sangat berharap kepada kejayaan UMS T2H 2024 dan kemunculan bakat masa hadapan,”katanya berucap pada majlis menandatangani surat penajaan dan penyerahan cek di Bilik Eureka, UMS Kampus Antarabagsa Labuan (UMSKAL) pada 10 Jun 2024 (Isnin).

Sementara itu, Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada penaja utama, Neurogine kerana telah menaja RM50,000 bagi menyokong pelaksanaan Inisiatif Hab Bakat Teknologi (UMS T2H) 2024.

Beliau juga mengumumkan dua agenda penting utama, iaitu penyiapan projek penyelidikan bertajuk "Meningkatkan Kesediaan Digital di Kalangan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana di Labuan: Kajian Mengenai Penggunaan Kod QR." Penyelidikan ini merupakan usaha kerjasama antara FKAL, Neurogine dan Dewan Perniagaan Labuan (LCC).

“Objektif utama kajian ini adalah untuk menilai tahap celik digital di kalangan PKS, meningkatkan kesediaan mereka untuk alam digital, dan mengenal pasti halangan yang menghalang peralihan mereka kepada landskap perniagaan yang lebih fokus secara digital. Dengan menggunakan metodologi tinjauan, kami mengumpul data berharga daripada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana dan merumuskan hipotesis untuk meneroka pengaruh keyakinan peribadi, inovasi teknologi, ketidakselesaan dan rasa tidak selamat terhadap penggunaan kod QR.

Selain itu, kami meneliti peranan pengaruh sosial sebagai faktor mediasi,”katanya.

Dr Geoffrey juga mengumumkan satu lagi kerjasama penyelidikan yang penting antara FKAL dan Neurogine, yang memberi fokus terhadap keutamaan kualiti makanan di Malaysia Timur, bidang penyelidikan yang penting untuk industri makanan, kesihatan awam dan kepuasan pengguna.

Beliau juga menekankan bahawa penyelidikan itu menekankan kepentingan memahami keutamaan kualiti makanan dan bertujuan untuk memberikan pandangan yang boleh memberi manfaat kepada industri makanan di wilayah Borneo.

Melalui inisiatif ini, Neurogine telah menaja RM50,000 kepada FKAL UMS bagi merealisasikan pencarian hab bakat teknologi dan kemuncak inisiatif ini akan disampaikan kepada pemenang pada Disember 2024.

Pemenang UMS T2H 2024 akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, diikuti naib juara RM8,000 dan tempat ketiga RM5,000.

Turut hadir Timbalan Dekan Pasca Siswazah dan Antarabangsa FKI, Dr Nooralisa Mohd Tuah dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKAL yang juga Ketua Sekretariat UMS T2H 2024Dr Noor Hassanah Husin.

Terima Kasih Neurogine Sdn Bhd.

Tamat.