10 MEI 2024 (JUMAAT) - Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sedia bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan mengelolakan pelbagai program belia dan sukan.

Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid berkata pihaknya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tunggal di pulau ini akan sentiasa berganding bahu dengan jabatan dan agensi kerajaan mengadakan program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya mahasiswa UMSKAL

“UMSKAL sentiasa bersedia bekerjsama dengan jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan pelbagai program yang membabitkan mahasiswa dan komuniti di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelbagai program belia dan sukan sememangnya sesuai dengan kehendak mahasiswa dan kakitangan UMSKAL.

“Kami mengalu-alukan penganjuran bersama acara belia dan sukan dengan jabatan dan agensi kerajaan di Labuan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai pengarahnya, Mahanum Fauzi di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL.

Delegasi JBS turut disertai Penolong Pengarah Belia, Tracy Tumay Rigar, Pegawai Pembangunan Rakan Muda, Zulhairi Isnean, Pegawai Pembangunan Sosial, Rayner Justine dan Pengurus Kompleks Sukan, Abang Syamsulzainuri Abang Sapini.

Turut hadir Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah, Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi (SSR) UMSKAL, Dr Ahmad Fadly Abdul Rahman serta wakil Sektor Hal Ehwal Pelajar.

Dr. Mohamad Rizal berkata, dengan adanya kemudahan seperti dewan kuliah, bilik kuliah dan gelanggang sukan, pihaknya mampu mengendalikan pelbagai acara yang membabitkan belia dan sukan.

Malah, katanya, UMSKAL juga bersedia berkongsi ilmu dan kepakaran yang dimiliki pensyarah dan pegawai serta kakitangan dengan komuniti setempat.

“Sudah beberapa kali mahasiswa dan pensyarah serta kakitangan UMSKAL memberikan kerjasama menjayakan pelbagai program anjuran jabatan dan agensi kerajaan,”katanya.

Sementara itu, Mahanum memaklumkan JBS dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan akan menganjurkan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat WP Labuan pada 18 dan 19 Mei ini di Dewan Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Katanya, HBN 2024 yang bertemakan ‘Yakin Boleh’ itu menampilkan pelbagai program menarik untuk disertai warga Labuan khususnya golongan belia.

“JBS Labuan mengucapkan terima kasiih kepada jabatan dan agensi kerajaan yang bekerjasama menjayakan HBN 2024.

“Pelbagai program menarik menanti warga Labuan pada 18 dan 19 Mei ini di Ujana Kewangan Labuan,”katanya.

Yakin Boleh.

Tamat.