LABUAN: Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah mengadakan Majlis Persaraan dan Majlis Penghargaan Kakitangan pada 20 Mei 2024.

Majlis yang berlangsung di Bilik Seri Menanti Bangunan Menara UMSKAL itu meraikan seorang pegawai bersara, Asli Ukal yang telah menabur bakti selama 25 tahun di UMSKAL.

Asli yang dilahirkan pada 10 Julai 1964 di Beaufort, Sabah bertugas di Bahagian Keselamatan UMSKAL pada 5 Oktober 1999 sehingga 9 Julai 2024.

Beliau yang pernah mewakili UMS dalam sukan bola sepak veteran menerima Pingat Perkhidmatan Awam, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Negara-Negara Bersatu dan Pingat Jasa Malaysia.

Lima orang pegawai berpindah ialah Ketua Sektor Kewangan, Mohammad Anwar Abdullah, mantan Ketua Sektor Klinik Rawatan Warga, Dr Roy Martin Daya dan mantan Ketua Sektor Perkhidmatan Akademik, Juliana Affendy,

Turut diraikan dua lagi kakitangam Klinik Rawatan Warga, Nurul Amiella Abdullah dan Valaria Ondihon Wilfred Lajanty.

Kesemua mereka berpindah ke UMS Kota Kinabalu.

Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid menyampaikan cenderamata penghargaan kepada pegawai yang terbabit.

Dalam ucapannya, Dr. Mohamad Rizal bagi pihak semua warga UMSKAL mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pegawai yang bersara dan pegawai yang berpindah.

“Terima kasih dan sekalung penghargaan saya ucapkan kepada pegawai yang bersara dan pegawai yang berpindah atas jasa, pengorbanan dan khidmat bakti kepada UMSKAL selama ini,”katanya.

Beliau berharap sikap dedikasi mereka itu akan diteladani pegawai dan kakitangan yang masih berkhidmat di UMSKAL.

Sementara itu, pegawai yang diraikan mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua warga UMSKAL terhadap bidang tugas mereka masing-masing.

Mereka berharap semua pegawai dan kakitangan akan terus menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sehabis baik.

“Mohon maaf jika kami ada melakukan kesalahan dan kesilapan."

“Kami bangga menjadi sebahagian daripada UMSKAL,”katanya.

Turut hadir Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah, Ketua-ketua Sektor dan kakitangan sektor yang terbabit.

Jasamu Dikenang.

Tamat.