15 JULAI 2024 (ISNIN) – Pada hari ini, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) menerima tetamu dari dalam dan luar negara yang membuktikan kewujudan satu-satunya Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Wilayah Persekutuan Labuan.

TIGA orang pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) WP Labuan yang diketuai Pengarah Keselamatan Negeri, Mohd Hafiez Mohd Daud, Penolong Pengarah (Polis) ASP Roslan Md Bujang dan Penolong Pengarah, Mohamad Faizuwan Mastapar mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengarah Kampus UMSKAL, Profesor Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid di Bilik Mesyuarat Eksekutif Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL.

SERAMAI 10 orang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) UTC WP Labuan yang terdiri daripada Jawatankuasa EKSA telah mengadakan Lawatan Penanda Aras Ekosistem Kondusif Awam (EKSA) ke UMSKAL.

Ketibaan rombongan yang diketuai Penolong Pegawai Pendaftaran KP29, Nuraesah Nahar telah disambut oleh Pustakawan Kanan, Dayang Ruhidah Raplee yang mewakili Pengarah UMSKAL selaku AJK Audit EKSA dan Setiausaha EKSA, Dg Norsiah Ag Saman serta AJK EKSA UMSKAL.

Lawatan ini telah mencapai matlamatnya untuk memberi pendedahan dalam usaha menambahbaik pelaksanaan EKSA di JPN UTC W.P Labuan.

⁠FAKULTI Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) telah menerima penilai luar untuk program pemasaran.

Empat penilai luar itu ialah Prof Dr Ruby Ahmad (Department of Finance, Universiti Malaya), Prof Dr Huam Hon Tat (Putra Business School, UPM), Ketua Pegawai Operasi Tijarah Holding Ltd, Dimitri Rizzi dan Alumni UMS, Yeap Siew Lin.

FKAL turut menjadi tuan rumah kepada delegasi dari Program Pengajian Perakaunan, Fakulti Ekonomi Universiti Slamet Riyadi. Surakarta, Indonesia pada 15 - 17 Julai 2024.

Delegasi ini diketuai oleh Naib Canselor Pentadbiran Am dan Kewangan. Dr Aris Eddy Sarwono, SE, AK. CA, Ketua Institut Penyelidikan dan Khidmat Masyarakat, Yannie Asrie Widanti dan Pensyarah Program Pengajian Pengurusan Nike Larasati.

Tujuan utama lawatan ini adalah untuk memulakan projek penyelidikan kolaboratif bertajuk "Pembangunan Strategi Pemasaran Produk Makanan Proses Tempatan di Kabupaten Boyolali, Jawa Tengah, Indonesia, dan Wilayah Persekutuan Labuan, Malaysia."

Inisiatif penyelidikan bersama ini dijalankan dengan kerjasama Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Prof. Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Dr. Noor Hassanah Husin dan Pensyarah Kanan Perbankan Antarabangsa dan Luar Pesisir, Dr. Salumah Nain.

Semoga UMSKAL kekal teguh di persada pendidikan tinggi di rantau ini.

Tamat.