LEBIH 670 penonton telah menyaksikan Tayangan Big Screen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di pekarangan Bangunan Menara, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) pada 11 JUN 2024 (Selasa).

Pada perlawanan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya berjaya meraih kemenangan 3-1 ke atas Taiwan pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Bagaimanapun hasrat skuad Harimau Malaya mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 tidak kesampaian.

Ini selepas Oman tidak membantu kemaraan skuad negara apabila mereka terikat 1-1 dengan Kyrgzystan pada aksi terakhir Kumpulan D di Kompleks Sukan Sultan Qaboos.

Keputusan ini menyaksikan Oman menjuarai Kumpulan D dengan 13 mata sementara Kyrgyzstan muncul naib juara dengan 11 mata manakala skuad negara yang dibimbing Kim Pan Gon berada di tempat ketiga dengan 10 mata.

Tayangan Big Screen dianjurkan Jabatan Belia dan Sukan WP Labuan dengan kerjasama UMSKAL, Majlis Belia Labuan dan Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA).

Perlawanan yang bermula pukul 9 malam itu disaksikan Timbalan Pengerusi, Perbadanan Labuan, Simsudin Sidik, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan, Dato’ Sri Simon Liew Shan Wen, Pengarah JBS Labuan, Mahanum Fauzi dan Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Turut hadir Presiden Majlis Belia Labuan, Nazera Roslan, Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan (LAFA), Sophian Said, Lagenda Bola Sepak Negara, Datuk Hassan Sani, Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohamad Tuah dan Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL, Dr. Ahmad Fadly Abdul Rahman.

Pada program itu diadakan kuiz dan cabutan bertuah serta minuman dan cendol percuma.

Dr Mohamad Rizal mengucapkan terima kasih kepada JBS Labuan yang memberi ruang dan peluang kepada UMSKAL menjadi tuan rumah Tayangan Big Screen.

Katanya, ini merupakan peluang terbaik kepada pelajar UMSKAL dan peminat menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan skuad Harimau Malaya.

Beliau turut berterima kasih kepada sukarelawan sukan yang dikendalikan Sektor Sukan dan Rekreasi UMSKAL yang bekerjasama dengan JBS Labuan melaksanakan program itu.

Pelajar UMSKAL juga menjalankan perniagaan menjual makanan dan minuman sekaligus memeriahkan program itu.

Dr Mohamad Rizal juga mengalu-alukan penganjuran pelbagai program anjuran jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di UMSKAL.

Kerjasama seperti ini sangat baik untuk warga UMSKAL khususnya mahasiswa.

Malaysia Boleh.

Tamat.