LABUAN: Kehadiran Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor dan Ahli-ahli Senat menyuntik semangat dan keterujaan warga UMSKAL untuk terus menggembeleng tenaga dalam memajukan universiti ini.

Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abdul Hamid berkata komitmen yang ditunjukkan oleh pengurusan UMS terhadap kampus ini boleh dijadikan sebagai satu penanda aras yang mana kewujudan UMSKAL di pulau Labuan ini amat penting dan signifikan sebagai Kampus Cawangan UMS.

“Pada masa kini jumlah pelajar yang masih aktif adalah seramai 2,066 dan ini termasuk pelajar yang dijangka bergraduat pada tahun ini.

“Dengan adanya mahasiswa yang berjumlah sedemikian sedikit sebanyak dapat menyokong kepada perkembangan ekonomi dan taraf sosio ekonomi masyarakat tempatan di wilayah ini,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kunjungan Mesra Naib Canselor UMS dan Ahli-ahli Senat Bersama Warga UMSKAL di Dewan Utama, UMSKAL pada 23 Oktober 2023.

Katanya, kewujudan UMSKAL pada tahun 1999 di Labuan sebagai satu-satunya universiti awam sehingga hari ini telah memberi impak yang besar dalam pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau berkata, sebagai sebuah Kampus Cawangan UMS dan satu-satunya IPTA di Wilayah Persekutuan Labuan, pihak pengurusan kampus sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan bagi menyokong pelan strategik universiti.

“Daya usaha ini amat penting bagi meningkatkan nama dan keterlihatan universiti di persada tempatan dan antarabangsa.

“Sememangnya pihak pengurusan berperanan dalam menentukan arah tuju organisasi, namun kakitangan sebagai teras organisasi juga penting dalam melaksanakan tugas dan menentukan prestasi organisasi,”katanya.

Dr. Mohamad Rizal berkata pihak pengurusan pada setiap peringkat akan sentiasa mendorong kakitangan pelaksana menerusi keterlibatan kerja, menerokai pengetahuan baharu dan menggalakkan perkongsian.

“Pembangunan dan peningkatan kebolehan serta bakat kakitangan juga perlu sentiasa diutamakan bagi memastikan kakitangan kekal berdaya saing dan relevan untuk memastikan kelangsungan universiti dalam persaingan global,”katanya.

Latihan, pelan penggantian dan pengurusan bakat kakitangan perlu dirancang dan ambil berat bagi melahirkan ahli pengurusan dan pemimpin masa hadapan yang dinamik dan berkualiti.

Sehubungan dengan itu, besarlah harapan kami warga UMSKAL agar pengurusan tertinggi UMS akan terus menyokong dan memacu kampus ini agar menjadi sebuah kampus cawangan antarabangsa yang setanding dengan kampus cawangan universiti lain di Malaysia.

Tahniah dan syabas saya titipkan kepada semua kakitangan yang bertungkus lumus merancang, menyusun serta melancarkan perjalanan majlis sempena Mesyuarat Senat 2023 di UMSKAL.

Semoga kita semua dapat menyemai dan menyuburkan budaya kerja yang cemerlang demi kemajuan universiti yang kita sayangi ini.

Buat masa ini seramai 143 orang kakitangan pentadbiran dan 88 orang kakitangan akademik bertugas di kampus ini.

Selepas majlis itu, Dr Kasim bersama Ahli-ahli Senat menanam pokok Mangga Senat berhampiran Dewan Kuliah Pusat UMSKAL.

Penanaman pokok itu sebagai simbolik hubungan baik antara pihak pengurusan dan Ahli-ahli Senat UMS dengan warga UMSKAL.

Tamat.