PELAJAR Kursus Pengurusan Wakaf dari Program Kewangan Islam Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) telah berjaya mengadakan Program ‘Bahanah Scammer’ di Kolej Vokasional Labuan pada 8 Januari 2025.

Program ini merupakan inisiatif pelajar Pengurusan Wakaf yang bertujuan untuk mendidik, berkongsi ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang langkah bagi mengelakkan diri daripada terjerat dengan penipuan (scam) dalam kalangan pelajar Kolej Vokasional Labuan.

Program ini mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan (IPDL) dan Kolej Vokasional Labuan.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Program ‘Bahanah Scammer’ iaitu Fasela Adrian dan Penyelaras Program, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali.

Turut hadir Pengarah Kolej Vokasional Labuan, Nordin Akup dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Kolej Vokasional Labuan, Irwan Maidin.

Dengan sokongan ini, program ini diharapkan dapat memberikan impak positif kepada 30 orang pelajar Kolej Vokasional Labuan yang terlibat.

Penyelaras program, Dr. Hajah Haneffa Muchlis Gazali memainkan peranan penting dalam menyelaras, menasihat dan memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau bertanggungjawab memastikan sepanjang persediaan program sentiasa dalam pemerhatiannya dan dirangka dengan cara yang betul termasuklah cara pendekatan pelajar bersama rakan kolaborasi.

Dengan pengalaman dan kepakaran beliau, Dr. Hajah Haneffa berkomitmen untuk menjadikan program ini menjadi satu pengalaman yang bermakna dan berkesan bagi pelajar Kursus Pengurusan Wakaf dan juga semua peserta.

Dr. Hajah Haneffa mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

“Walaupun program ‘Bahanah Scammer’ yang mereka anjurkan ini tidak berkaitan dengan Kursus Pengurusan Wakaf, namun ini adalah salah satu cara mereka untuk menyumbangkan ilmu pengetahuan atau juga dikenali sebagai wakaf ilmu melalui pakar yang lebih mengetahui tentang penipuan atas talian ini.”katanya.

Program ini telah diusahakan oleh 11 orang pelajar dari Tahun 3 Kewangan Islam yang
diketuai oleh Fasela Adrian bersama ahli kumpulannya, Nur Alya Hafiezah, Hafiza Nabila, Nazatul Aisah, Nur Nazifah, Siti Nursuhana, Zulikmal, Nazriah, Noor Farah Afifah Elana, Nurul Nabilah dan Faleela Firdhaus.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuklah ceramah interaktif yang telah disampaikan oleh seorang penceramah yang berpengalaman luas dalam isu keselamatan dan jenayah siber, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan, ASP Jacklyn Justin.

Ceramah ini memberi tumpuan kepada jenis-jenis penipuan yang berlaku atas talian dan juga cara-cara untuk mengatasi apabila berlakunya penipuan atas talian ini.

Peserta juga terlibat dalam permainan interaktif Kahoot untuk mengukuhkan lagi pemahaman mereka tentang penipuan atas talian melalui soalan yang sudah disediakan oleh penganjur program.

Hadiah juga turut disediakan bagi pemenang yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga.

Pihak penganjur berharap agar program ini dapat menjadi platform untuk menyebarkan ilmu dan meningkatkan kesedaran tentang pentingnya pengetahuan tentang penipuan atas talian ini, sekaligus membentuk generasi yang lebih berpengetahuan dan mementingkan keselamatan diri dan juga peribadi.

Tamat.