ISNIN, 4 JUN – Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu (PERODA) baru-baru ini menjadi medium interaksi dan menyantuni ahli-ahli PERODA yang merupakan antara golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurut Ketua UPPsiKS, Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, program ini merupakan satu inisiatif pihak UPPsiKS untuk memberikan khidmat masyarakat dan menyalurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk kepada golongan OKU serta pihak PERODA.
“Program ini antara lain bertujuan untuk menerapkan sikap ambil berat dan suka membantu dalam kalangan masyarakat serta sebagai platform untuk mengenali dengan lebih dekat dan menghargai golongan OKU.
“Program ini juga mengajak kita untuk menghayati erti kasih sayang dan kekeluargaan, sekali gus meningkatkan lagi penghayatan bulan Ramadan buat umat Islam,” katanya.
Tambah beliau, melalui program ini juga, sumbangan kewangan dan jamuan berbuka diperoleh daripada beberapa syarikat dan orang perseorangan, selain sumbangan dalam bentuk wang tunai disalurkan terus ke akaun Persatuan PERODA.
Seramai 25 ahli PERODA yang terdiri daripada OKU berkerusi roda bersama-sama dengan 50 ahli keluarga OKU dan 15 orang sukarelawan turut serta pada program tersebut.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi PERODA, Fariz A. Rani.