ISNIN, 29 JULAI – Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Hj. Bahari telah berpeluang menyertai 6th World Congress on Positive Psychology yang diadakan di Melbourne Convention and Exhibition Centre, Melbourne, Victoria, Australia baru-baru ini.

Menurut beliau, kongres anjuran International Positive Psychology Association (IPPA) ini disertai lebih daripada 6,000 peserta yang datang dari 50 negara di seluruh dunia.

“Kongres ini telah menggariskan beberapa objektif yang ingin dicapai, antaranya ialah ingin memperlihatkan kepada dunia mengenai sains dan amalan terkini dalam bidang psikologi positif yang telah dibentangkan oleh para pengkaji dari seluruh dunia, selain menjadi satu platform untuk berinteraksi dan menjalinkan kerjasama antara cendekiawan, pengamal, pemimpin, ahli perniagaan, sekolah dan juga para pelajar.

“Dalam kongres ini juga, saya telah membentangkan hasil kajian bertajuk Subjective Happiness Among People with Physical Disabilities in Malaysia,” katanya.

Tambah Dr. Muhammad Idris Bullare, penyertaan dalam kongres ini sangat bermakna bagi beliau kerana dapat bersua muka dengan penceramah jemputan yang terdiri daripada beberapa orang tokoh yang terkenal dalam bidang psikologi positif seperti Profesor Martin Seligman, Profesor Barbara Fredrickson, Profesor Sonja Lyubomirsky, Profesor Michael Steger, Profesor Judith Moskowitz, Profesor James Pawelski, Profesor Roy Baumeister, Profesor Kim Cameron, dan Profesor Robert Vallerand,

“Saya berpeluang mendengar secara langsung tokoh-tokoh ini membentangkan hasil kajian mereka di sesi Plenari dan mendapat banyak input daripada pembentangan mereka mengenai bidang psikologi positif.

“Peluang yang diperoleh tidak akan disia-siakan dan akan saya manfaatkan untuk perkongsian maklumat yang diperolehi dengan rakan pensyarah dan para pelajar,” ujar beliau.