Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuka peluang kolaborasi antarabangsa dengan menerima kunjungan rasmi delegasi dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universitas Tanjungpura (UNTAN), Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.
Delegasi UNTAN diketuai Ketua Program Pengurusan, Dr. Heriyadi dan turut disertai oleh Dr. Wenny (Setiausaha Program Pengurusan), Prof. Dr. Nur Afifah (Ketua Program Pascasiswazah), serta empat pensyarah lain iaitu Dr. Ilzar, Dr. Titik Rosnani, Prof. Ramadania, dan Harry Setiawan.
Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Profesor Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim ketika menerima ketibaan delegasi di Bilik Mesyuarat Utama FPEP menyambut baik kehadiran delegasi tersebut dalam membincangkan kerjasama antara kedua-dua institusi.
“Kunjungan ini antara lain bertujuan untuk membincangkan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, mobiliti pelajar, serta program pertukaran kakitangan antara kedua-dua institusi.
“FPEP UMS kerap menerima kunjungan daripada universiti antarabangsa, khususnya dari Indonesia, dan UNTAN bakal menjadi satu lagi rakan strategik bagi UMS dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik antara kedua-dua universiti yang terletak di Pulau Borneo ini,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Heriyadi dalam ucapannya menyatakan bahawa lawatan itu merupakan langkah awal untuk menjalin kerjasama strategik yang melibatkan bidang penyelidikan, program mobiliti pelajar, dan pendedahan industri bagi pelajar.
“Kerjasama ini juga akan memberikan peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dengan komuniti setempat, baik di Malaysia mahupun di Indonesia.
“Walaupun delegasi yang hadir adalah dalam kalangan pensyarah program pengurusan ekonomi, namun input yang diperoleh hasil dari lawatan ini akan kami kongsikan kepada fakulti lain di UNTAN, dengan harapan agar kerjasama ini dapat diperluaskan ke bidang akademik yang lebih luas,” katanya.
Ujar beliau, usaha ini adalah langkah awal untuk manfaat yang lebih besar bagi pelajar dan pensyarah kedua-dua institusi.
Terdahulu, delegasi UNTAN diberi taklimat mengenai UMS oleh Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, yang antara lain memperkenalkan visi dan misi UMS dalam membina jaringan kerjasama serantau.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPEP, Profesor Madya Dr. Suddin Lada kemudiannya memberi taklimat berkaitan program akademik yang ditawarkan FPEP serta peluang penyelidikan yang dapat dimanfaatkan oleh kedua-dua universiti.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah FPEP, Dr. Jakaria Dasan turut memperkenalkan konsep pembelajaran berasaskan pengalaman yang dijalankan di FPEP, iaitu satu pendekatan dalam memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan teori yang dipelajari dalam kelas kepada situasi sebenar bersama komuniti, di samping memperoleh pengetahuan baharu dari masyarakat setempat yang menyumbang kepada pengalaman pembelajaran mereka.