UMS Meterai Perjanjian Penyelidikan Mengenai Populasi Gajah Borneo

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu perjanjian penyelidikan (Research Agreement - RA) bagi kajian mengenai populasi Gajah Borneo.

Menurut kenyataan dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, kajian tersebut akan dilakukan dalam tempoh tiga tahun bermula pada 2023 hingga 2026.

“RA ini melibatkan kerjasama antara UMS bersama Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).

“Projek ini diketuai oleh pensyarah kanan IBTP, Dr. Nurzhafarina Othman dan telah menerima kelulusan peruntukan sebanyak RM1.16 juta daripada MPOGCF,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Pemeteraian RA itu berlangsung dalam satu Majlis Menandatangani RA dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOGCF, JHLS, UMS dan HUTAN di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Acara menandatangani dokumen perjanjian itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr Rosalam Sabartly mewakili UMS; Pemangku Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud mewakili MPOGCF; dan Timbalan Pengarah JHLS, Roland Oliver Niun mewakili JHLS.

MoU yang melibatkan MPOGCF, JHLS dan HUTAN pula akan melakukan kajian mengenai populasi Orangutan dalam tempoh dua tahun bermula pada 2023 hingga 2025, dan telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM1.23 juta daripada MPOGCF.

“Pelaksanaan kedua-dua projek ini bertujuan untuk meninjau dan mengemas kini hasil data kajian mengenai jumlah populasi sebenar Gajah Borneo dan Orangutan di negeri Sabah yang kali terakhir didapatkan pada 9 hingga 14 tahun lepas.

“Selain itu, terdapat keperluan untuk mengkaji konflik manusia dan hidupan liar terutamanya untuk kedua-dua spesies yang dikaji.

“Hasil daripada kajian dijangka dapat membantu JHLS untuk merangka paradigma baharu dalam melaksanakan program-program kesedaran yang bakal dijalankan,” demikian kenyataan dari IBTP.

Kenyataan tersebut turut menyebut, projek itu akan memberi penekanan dalam membantu meningkatkan kapasiti pakar tempatan dengan memberi latihan kepada pelapis saintis muda Malaysia dalam bidang pemuliharaan ekologi dan hidupan liar Sabah.

“Mereka yang terlibat adalah di bawah pembiayaan program ijazah Sarjana Sains (MSc) di universiti-universiti tempatan.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Saintifik HUTAN, Dr. Marc Acrenaz; Setiausaha Bahagian, Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sago Sabah, Severinus Tukah; dan Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.