JUMAAT, 8 APRIL - Amalan tadbir urus terbaik sentiasa diserapkan dan dilaksana di semua peringkat pentadbiran Universiti Malaysia Sabah (UMS) seperti yang dijelaskan dalam surat Ketua Setiausaha Negara - Garis Panduan bagi Mempertingkatkan Tadbir Urus Awam 2007.

Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad berkata, dalam konteks melaksanakan tadbir urus terbaik di UMS, integriti, senses (rasa) dan kehendak akan menjadi aspirasi dalam usaha memacu misi dan visi universiti.

“Sistem penyampaian menjadi berkesan bila semua warga kerja berintegriti, amanah dan bertanggungjawab sama ada semasa adanya ketua atau bila bersendiri.

“Pekerjaan dilaksanakan dengan jujur bukan kerana mengejar markah penilaian prestasi atau ganjaran keduniaan akan tetapi dilaksanakan atas tanggungjawab dengan penuh amanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Aspirasi Pendaftar (MAP) di Dewan Resital UMS.

Katanya, tadbir urus terbaik di universiti juga boleh dilaksanakan apabila setiap kakitangan mempunyai rasa kepunyaan (sense of belonging), rasa kesegeraan, rasa kebertanggungjawaban dan rasa hormat yang tinggi.

“Misalnya, bila setiap dari kita punya rasa kesegeraan, tindakan akan sentiasa diambil dengan segera. Dengan adanya rasa kebertanggungjawaban, kerja yang dilaksanakan akan dibuat dengan penuh hati-hati dan tidak sambil lewa,” kata No’man.

Majlis yang dihadiri pegawai pentadbiran dan ikhtisas serta kakitangan pelaksana bertujuan mengetengahkan pencapaian Institusi Pentadbiran dan Ikhtisas serta memperincikan hasrat dan hala tuju universiti yang diamanatkan Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, baru-baru ini.

No’man turut mengumumkan beberapa inisiatif bagi mendokong dan melaksanakan Amanat Naib Canselor 2016.

Antaranya pembangunan bakat berfokus, program sangkutan kakitangan, pengukuhan kompetensi pentadbir, penambahbaikan klasifikasi tugas kakitangan berdasarkan penambahbaikan skim perkhidmatan, pengukuhan proses kenaikan pangkat serta memperkasa fungsi dan impak penubuhan jawatankuasa pemandu kualiti dan inovasi pentadbiran.

“Sama-samalah kita terus Bertekad Cemerlang selaras dengan Motto universiti yang kita dokong selama lebih 21 tahun ini. Mulakan hari ini dan hari-hari berikutnya dengan tekad atau niat untuk mencapai hasil kerja yang terbaik,” katanya. -SS-

JUMAAT, 8 APRIL – Barisan kepimpinan pelajar yang terdiri daripada wakil Majlis Perwakilan Pelajar, kelab, persatuan atau sekretariat yang berdaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) didedahkan kepada tujuh modul utama yang menjadi asas kepada pengurusan organisasi pelajar yang berkesan melalui satu kursus di Anjung Siswa, UMS baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali berkata, tujuh modul utama tersebut ialah Kepimpinan dan kerja berpasukan, personaliti, pengurusan mesyuarat, pengurusan laporan, tatacara penubuhan kelab, proses kertas kerja dan laporan kewangan.

“Kursus Pengurusan Organisasi Pelajar ini diadakan setiap tahun sebagai kursus wajib kepada semua bakal pemimpin dan melibatkan tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan.

“Melalui kursus ini juga para peserta mampu meningkatkan insaniah selaras dengan hasrat universiti untuk menyediakan aspek kepimpinan kepada pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan kelak,” katanya.

Kursus anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS ini mendapat penyertaan 189 pelajar.

Hadir sama dalam kursus itu ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat yang turut memberikan taklimat dalam slot pertama mengenai ‘Kepimpinan dan Kerja Berpasukan’.

Sumber : Bahagian Pembangunan Pelajar, JHEP

KHAMIS, 7 APRIL – Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr Ismail Ibrahim diraikan dalam majlis persaraannya di mini auditorium FPP pada Selasa.

Menerajui jawatan Dekan FPP bermula 1 Disember 2012, Dr Ismail yang berkhidmat dengan UMS selama 17 tahun merupakan pakar akademik dalam bidang etnik dan budaya negeri Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, Prof. Ismail yang dikenalinya merupakan seorang rakan yang baik, sering membantu dan ringan tulang.

“Dalam perjawatan, beliau seorang yang komited dan bekerja keras untuk merealisasikan setiap perancangan. Sebagai ketua jabatan, saya melihat beliau seorang yang amat yakin bahawa saling memahami dan berlapang dada akan membibitkan hubungan baik antara staf akademik dan staf sokongan bagi kedua-dua blok iaitu blok psikologi dan blok pendidikan,” katanya.

Teks beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Shahril Yusof.

Datuk Harun turut melahirkan rasa bangga kerana UMS mempunyai seorang pensyarah seperti Prof. Ismail yang terus cemerlang dalam perkhidmatan sehingga ke akhir tempoh perkhidmatan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad dan Ketua Pustakawan, Dg Rukiah Ag Amit serta kakitangan FPP.

Untuk rekod, Dr Ismail secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 38 tahun sebagai penjawat awam di Sabah. -CD-

KHAMIS, 7 APRIL – Berikutan masalah jerebu yang melanda beberapa kawasan sekitar Pantai Barat Sabah sejak beberapa hari lalu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif mengedarkan penutup mulut kepada para mahasiswa universiti.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Madya Dr. Ismail Ali, pengedaran sejumlah 3,000 unit penutup mulut itu adalah satu langkah keselamatan bagi membendung kejadian tidak diingini berlaku terutama melibatkan kesihatan pelajar.

“Langkah ini adalah atas keprihatinan kita terhadap pelajar khususnya kepada siswa-siswi yang hadir ke kuliah, dan berisiko terdedah kepada ancaman kesihatan akibat keadaan cuaca yang tidak sihat ini.

“Jabatan Hal Ehwal Pelajar akan terus memantau perkembangan IPU jerebu dari semasa ke semasa bagi menentukan tindakan seterusnya yang bakal diambil,” ujarnya pada satu acara pengagihan penutup mulut kepada pelajar di Anjung Siswa.

Turut hadir pada acara tersebut Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Azmi Jumat dan pegawai serta barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar UMS.

Sumber : Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

RABU, 6 APRIL – Kelab Surirumah dan Staff Wanita (KESUMBA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan hormat kepada isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah yang juga Penaung KESUMBA, Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Tan Sri RM Jasni, di Istana Negeri, Kota Kinabalu hari ini.

Delegasi seramai 10 orang itu diketuai Yang Dipertua KESUMBA, Datin Baidah Ibrahim yang  kemudiannya memperkenalkan ahli-ahli exco baharu serta memberi taklimat tentang aktiviti kelab kepada Toh Puan Norlidah.

Toh Puan Norlidah  mengucapkan tahniah kepada barisan exco yang  baru dilantik dan berharap agar terus memainkan peranan secara aktif dalam membantu KESUMBA meneruskan pencapaian yang baik.

Beliau juga menekankan perlunya membantu mereka yang kurang bernasib baik, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kelab tersebut.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Timbalan Presiden Kelab, Roha Asmara; Setiausaha Kehormat, Norti Sirin dan Pengerusi KESUMBA Kampus Antarabangsa Labuan, Hayati Salleh Baihaki.  – FL

Photo: Suzeanywati Gasinin