RABU, 9 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyampaikan replika cek bernilai RM31,424,050.00 kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah di Bilik Danum, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kelmarin.

Daripada jumlah itu, RM31,000,050.00 adalah sebagai bayaran bagi premium tanah dan yuran penyaksian, manakala selebihnya iaitu RM424,000.00 adalah bayaran cukai tanah bagi tahun 2017 bagi tapak cadangan Hospital Pengajar UMS.

Majlis penyampaian cek disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin kepada Pengarah JTU Datuk Haji Safar Untong, di hadapan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

Datuk Haji Safar dalam satu kenyataan memaklumkan Kerajaan Negeri telah memberi lampu hijau kepada projek itu kerana ia memberi faedah kepada ahli akademik dan juga orang awam secara menyeluruh khususnya dalam peningkatan taraf kesihatan.

“Apabila hak milik tanah itu dikeluarkan, UMS hanya dikenakan premium tanah nominal tetapi sekatan tertentu dimasukkan untuk membolehkan Kerajaan Negeri mendapatkan semula premium pindah milik penuh tanah,” katanya.

Hadir sama Pegawai-pegawai Utama UMS dan pegawai-pegawai dari JTU Sabah.

 

SELASA, 8 OGOS – Pasukan bola tampar wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengharumkan nama universiti apabila muncul juara pada kejohanan Sukan Staf antara Universiti-Universiti Awam Malaysia (SUKUM) yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Pasukan itu menewaskan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada perlawanan akhir sekali gus menyumbang pingat emas buat kontinjen UMS.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit dan mantap, namun kelebihan berpihak kepada UMS apabila menang ‘straight set’ untuk kekal di persada pertandingan.

Ketika ditemui media, ketua pasukan bola tampar UMS, Dayangku Masniah Ag Madaud merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pemain yang telah bertungkus lumus sehingga meraih kejayaan manis tersebut.

“Tidak lupa juga kepada pengurus dan jurulatih kerana membimbing tanpa rasa penat dan pasukan yang betul-betul berlatih dengan penuh semangat,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan UMS kerana memberi sokongan dan peluang beraksi pada SUKUM 2017.

 

Oleh Mardianah Shamsudin (Pelajar Latihan Industri BPK)

 

 

 

 

 

 

 

SELASA, 8 OGOS - Pusat Perakaunan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Seminar Penyelidikan Perakaunan 2017 baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Seminar Perakaunan, FPEP, seminar itu antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada para penyelidik dalam bidang perakaunan untuk membentangkan hasil penyelidikan yang sedang dijalankan, selain menjadi ruang untuk berkongsi buah fikiran dan mengadakan jaringan kerjasama.

Seramai 46 peserta terlibat dalam seminar tersebut,  30 daripadanya adalah kakitangan dan pelajar UMS, manakala selebihnya peserta luar dari beberapa institusi pendidikan tinggi seperti kakitangan Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA Sabah dan University College Sabah Foundation serta pelajar pascasiswazah Universiti Malaya.

Seminar sehari itu menyaksikan sembilan kertas kerja dibentangkan enam pembentang daripada FPEP UMS, dan tiga pembentang dari UNIMAS, selain ucaptama bertajuk “Contemporary Issues in Accounting Research: The Way Forward” yang disampaikan Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail yang juga merupakan pakar dalam bidang perakaunan.

Dengan kejayaan penganjuran seminar tersebut, Pusat Perakaunan UMS dijangka akan menjadikan Seminar Penyelidikan Perakaunan sebagai acara tahunan pusat tersebut, dengan perancangan penganjuran berskala besar melibatkan penyertaan lebih ramai peserta dari institusi pendidikan tinggi lain terutamanya dari Semenanjung Malaysia dan kawasan serantau pada masa akan datang.

Sumber: Pusat Perakaunan UMS

ISNIN, 7 OGOS - Kejadian tumpahan merkuri di makmal Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dilaporkan dalam akhbar tempatan bertarikh 5 Ogos 2017 merupakan sebuah insiden kecil yang melibatkan sebatang termometer merkuri yang pecah semasa kerja penyelidikan dijalankan. 

Menurut Pengarah IPB, Dr. Zarina Amin, insiden yang berlaku kira-kira jam 10.00 pagi hari Jumaat tidak melibatkan kecederaan kepada pelajar dan kakitangan. 

“Pihak IPB bertindak mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) keselamatan makmal dengan menghubungi Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Sembulan bagi membantu dalam pemeriksaan dan pembersihan tumpahan merkuri tersebut," katanya.

Tambah Dr. Zarina, dengan adanya pelan kontingensi lengkap yang disediakan oleh IPB, insiden tersebut berjaya ditangani dengan pantas dan sempurna.                        

JUMAAT, 04 OGOS - Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi mempamerkan kecemerlangan pada Konvensyen KIK peringkat Universiti Awam (UA) yang berlangsung selama tiga hari sehingga kelmarin.

Bertempat di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), konvensyen KIK kali ke-13 ini menyaksikan UMS diwakili oleh kumpulan Tahammas dan kumpulan Ecotech masing-masing untuk kategori Pengurusan dan Teknikal.

Pada pertandingan itu kumpulan Tahammas muncul sebagai pemenang naib johan bagi kategori Pengurusan sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang bernilai RM4,000.

Kumpulan Tahammas turut meraih Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Emas dalam kategori yang sama.

Sementara itu, kumpulan Ecotech dalam penyertaan sulung terhadap konvensyen KIK kali ini turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya meraih Anugerah Perak dalam kategori Teknikal.

Kedua-dua kumpulan menerima sijil penarafan atas pencapaian anugerah masing-masing.

 

Oleh Mohd. Fikri Maperi (Pelajar Latihan Industri BPK)