Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakhiri tahun 2024 yang penuh gemilang melalui penyertaan dalam Program Global Convergence Capstone Design di Universiti Hannam, Korea Selatan.

Bertemakan “Carbon Neutrality,” program tersebut memfokuskan kecemerlangan akademik, penglibatan industri, dan pertukaran budaya.

Delegasi UMS yang diketuai Ketua Program Mobiliti Antarabangsa, Datu Razali Datu Eranza turut disertai oleh Timbalan Pendaftar Kanan FPEP, Awina Kamis; Ketua Program Perniagaan Antarabangsa, Dr. Nur Aleysa Chew Tze Cheng; dan staf FPEP, Arnah Sanuddin disambut oleh Pengarah Projek LINC 3.0, Prof. Gu-Hwan Won yang turut menekankan pentingnya kolaborasi global dalam pendidikan ketika bertemu delegasi UMS.

Lebih 25 peserta dari UMS dan Universiti Hannam menyertai program tersebut yang menyaksikan pengisian pelbagai siri ceramah berkaitan neutraliti karbon dan trend perniagaan global, antaranya ceramah “Future-Proofing Workplaces: Carbon Neutrality and Global HR Trends” yang disampaikan Datu Razali; ceramah “Eksport dan Import” oleh Prof. Chen Hong; dan ceramah “Neutraliti Karbon dalam Perniagaan Antarabangsa” oleh Dr. Nur Aleysa.

Turut diadakan lawatan industri ke Perusahaan Kecil dan Sederhana yang inovatif seperti PumpCare yang menjalankan operasi berkaitan tenaga mampan, Water Genesis, dan Organisasi Kereta Api Bawah Tanah Daejeon City, sekali gus memberikan para peserta delegasi satu wawasan tentang amalan mampan dan teknologi terkini.

Selain itu, peserta turut mengikuti bengkel seni budaya Korea, pembuatan makanan tradisional, dan acara “Malam Kebudayaan Sabah-Daejeon” yang mampu mengeratkan lagi hubungan kedua-dua institusi.

Program tersebut diakhiri dengan kuliah khas yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif JeuDérm, Tatyana Jeon dan Profesor dari Woosong University, Profesor Dr. Gilbert M. Tumibay.

Dalam pada itu, Dekan FPEP, Prof. Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim merakamkan penghargaan kepada Universiti Hannam atas penganjuran program tersebut, serta memuji usaha pihak yang terlibat, antaranya pensyarah FPEP, Profesor Madya Mat Salleh Ayub dan Datu Razali, serta pensyarah Universiti Hannam, Prof. Peter Lee dalam mengadakan kolaborasi dan menjayakan program tersebut. 

“Program ini bukan sahaja menangani isu global seperti neutraliti karbon tetapi juga membina jambatan akademik dan budaya yang kukuh.

“Usaha ini juga melambangkan dedikasi FPEP dalam memajukan kecemerlangan akademik global,” ujar Rahimie.

Dalam perkembangan lain, FPEP sekali lagi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Program Mobiliti Paling Aktif untuk tahun kelapan berturut-turut, manakala Profesor Peter Lee menerima penghargaan khas daripada Kementerian Pendidikan Korea Selatan atas sumbangan beliau terhadap kerjasama akademik antarabangsa.

 

Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat (JAKMAS), Kolej Kediaman Lestari Sandakan (KKLS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama penduduk kampung dan pelajar Maahad Dar Al-Hijrah Sandakan di Masjid An-Nur Kampung Sentosa, Sandakan baru-baru ini.

Program tersebut bertujuan memberikan pendedahan awal kepada para peserta mengenai pelbagai peluang dalam bidang perusahaan seperti penanaman cendawan tiram kelabu, halia kampung secara fertigasi dan pembuatan vermikompos secara komersial.

Selain itu, penganjuran program tersebut memberi peluang kepada badan kepimpinan JAKMAS untuk menimba ilmu serta pengalaman dalam melaksanakan aktiviti di luar kampus dan berinteraksi dengan masyarakat, khususnya di sekitar Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS Sandakan.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengetua KKLS yang juga pensyarah FPL, Borhan Abdul Haya @ Yahya.

Menurut Borhan, program yang disertai 67 peserta itu adalah langkah penting dalam memajukan ekonomi komuniti setempat melalui bidang pertanian yang berpotensi tinggi.

“Pelaksanaan program seperti ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penduduk kampung dalam bidang perusahaan, yang seterusnya dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan membuka peluang pekerjaan,” katanya.

“Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memupuk semangat keusahawanan dan mendorong penduduk untuk memanfaatkan sumber daya tempatan secara lebih berkesan,” katanya.

Tambah Borhan, kolaborasi antara universiti dan komuniti mampu memberikan manfaat jangka panjang dalam pembangunan masyarakat.

“Program ini turut membantu mengurangkan jurang antara ilmu akademik dan aplikasi praktikal di lapangan.

“Dengan kerjasama yang berterusan, kita dapat memastikan kesinambungan usaha ini demi kemajuan bersama,” katanya.

Seramai tiga pensyarah UMS dijemput sebagai penceramah jemputan iaitu Ts. Dr. Mohd Rakib Mohd Rahid, Dr. Muhamad Askari dan Dr. Mohamad Asrol Kalam.

Turut hadir, Pengerusi Biro Agama UMNO Libaran, Hj. Amsain Jausin; Ketua Kampung Sungai Batang, Hj. Shaffa Majid dan Guru Maahad Dar Al-Hijrah Sandakan, Tajudin Yosep Beda.

 

Nilai adab dan minda progresif perlu menjadi kunci kepada setiap usaha yang dilaksanakan bagi memacu dan menjayakan agenda kecemerlangan universiti.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, dalam mendepani cabaran tahun baharu 2025 yang mendatang, warga UMS perlu mengangkat satu nilai yang mesti menjadi teras utama, yakni adab.

“Adab bukan sekadar kesopanan, tetapi ia adalah penghormatan kita terhadap ilmu, sesama manusia, dan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Selain mengukuhkan nurani dengan adab, kita juga perlu bergerak ke arah growth mindset.

“Adab membentuk asas nilai diri, manakala growth mindset mendorong kita untuk sentiasa berkembang, belajar daripada pengalaman, dan melihat cabaran sebagai peluang untuk maju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena Tahun Baharu 2025 yang disiarkan di laman rasmi media sosial UMS.

Menurut Kasim, dalam ekosistem universiti, growth mindset bermakna warga universiti tidak takut untuk mencuba perkara baharu, belajar dari kesilapan, dan berkembang melangkaui batasan diri.

“Para ahli akademik perlu mengasah minda mahasiswa dan bukan sahaja menyampaikan fakta tetapi memberi mereka keberanian untuk berfikir, untuk bertanya, dan untuk bercita-cita besar.

“Anda adalah suluh budiman, menyuluh pelajar meneroka laluan peta yang belum dilakar, menunjuk arah, tetapi tidak memaksakan pilihan, dan amanah ini menjadi amal jariah, sumbangan abadi melangkau generasi.

“Mahasiswa memandang anda sebagai teladan, justeru tunjukkan bahawa kekuatan intelektual itu bermula dengan adab, dan kebijaksanaan itu lahir daripada kesabaran,” katanya.

Tambah beliau, pentadbir universiti juga perlu memastikan segala urusan pentadbiran berjalan lancar sekali gus menjadikan semua warga kampus dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Anda adalah penjaga sistem yang memastikan dasar dan prosedur dilaksanakan dengan baik, dan setiap keputusan anda memberi kesan besar kepada perjalanan universiti.

“Sumbangan anda semua adalah nadi yang menghidupkan universiti dan menjadikannya tempat di mana kecemerlangan ilmu dan nilai manusiawi bertemu,” katanya.

Ujar beliau, dalam tahun 2025, UMS akan meneruskan usaha mengukir keunggulan dan memperkasa ekosistem berdasarkan lima lensa ke arah UMS cemerlang.

Kasim mengakhiri perutusan dengan menyeru seluruh warga UMS melangkah ke tahun 2025 dengan semangat kesatuan dan jiwa yang padu untuk mencapai impian bersama.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) terus komited terhadap usaha meningkatkan pendapatan komuniti setempat menerusi penganjuran Kursus Penternakan Akuakultur Pesisiran Pantai Bersama Komuniti Daerah Kudat baru-baru ini.

Menurut kenyataan dari IPMB, program tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif di bawah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) yang dianugerahkan kepada IPMB oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2024.

“Kursus sehari anjuran Rakan Akuakultur IPMB dengan kerjasama erat bersama Jabatan Perikanan Sabah telah berjaya menarik seramai 35 orang peserta yang berasal dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas.

“Kursus ini antara lain bertujuan untuk mendedahkan komuniti di sekitar daerah Kudat kepada kepentingan dan pelbagai jenis aktiviti akuakultur yang boleh dilaksanakan di kawasan pesisiran pantai.

“Aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang untuk meningkatkan pendapatan komuniti setempat tetapi juga berpotensi menjadi sumber pendapatan utama atau sampingan yang dapat meningkatkan ekonomi sara hidup keluarga,” demikian menurut kenyataan tersebut.

IPMB turut memaklumkan, menerusi kursus tersebut, peserta berpeluang untuk memahami lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh penternak dan nelayan, serta mencari pendekatan yang lebih mampan dan berkesan dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka.

“Program ini turut berperanan dalam menyokong penyelidikan bertajuk “Sosio-Ekonomi: Menilai Impak Pemindahan Teknologi Akuakultur Kepada Komuniti” yang dijalankan oleh IPMB bagi menganalisis impak pemindahan teknologi akuakultur dalam meningkatkan kehidupan masyarakat di pesisiran pantai.

“Program ini diharap dapat memperkasakan kemahiran dan pengetahuan masyarakat setempat dalam bidang akuakultur, serta menyediakan peluang latihan yang relevan dengan keperluan semasa.

“IPMB khususnya, dan UMS secara amnya akan terus komited dalam memperkukuhkan pendidikan dan penyelidikan di negeri Sabah dengan memberikan sokongan yang padu kepada komuniti tempatan, terutamanya dalam usaha-usaha meningkatkan kualiti hidup mereka melalui pendekatan yang lebih inovatif dan mampan,” menurut kenyataan IPMB.

Dalam perkembangan lain, selain kursus tersebut, IPMB telah melaksanakan pelbagai program ke arah usaha memajukan kemahiran dan pengetahuan para peserta khususnya dalam industri akuakultur sepanjang tahun ini, antaranya Basic Aquaculture Management, Characterization and Immunology Profiling of Fish Blood dan Basic Fish Parasite Identification.

“Dengan penekanan terhadap teknologi akuakultur yang lebih efisien, mampan, dan berdaya saing, IPMB komited untuk membantu mengatasi cabaran yang dihadapi dalam industri perikanan dan meningkatkan daya saing produk akuakultur tempatan di pasaran global.

“Melalui pendidikan dan penyelidikan yang terus diperbaharui, IPMB berharap dapat melahirkan lebih banyak inovasi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti dan industri akuakultur secara keseluruhan.

“Ini merupakan langkah penting dalam mencapai pembangunan yang lebih mampan dan berdaya tahan dalam sektor perikanan di Malaysia.

IPMB telah diiktiraf sebagai salah sebuah HiCoE pada tahun 2024 atas pencapaian besar dalam bidang penyelidikan dan pendidikan tinggi negara, yang memberi pengiktirafan kepada usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan dalam bidang akuakultur khususnya berkaitan ikan kerapu hibrid dan ikan mameng.

 

Dua pensyarah daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), iaitu Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohd Sani Sarjadi dan Prof. Madya ChM. Dr. Moh Pak Yan menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam bidang kimia negara apabila dilantik sebagai Felo Institut Kimia Malaysia (IKM).

Penganugerahan pelantikan tersebut disampaikan dalam satu majlis berprestij, Malam Kimia 2024 – 53rd IKM Gala Dinner & Presentation of Awards di salah sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Penganugerahan tersebut disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Ts. Dr. Hj. Aminuddin Hassim yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Lantikan sebagai Felo IKM itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar kedua-dua pensyarah tersebut dalam bidang kimia, termasuk penglibatan aktif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penerbitan jurnal, pembentangan di persidangan antarabangsa, serta usaha pemindahan ilmu kimia kepada masyarakat.

Menurut salah seorang penerima, Dr. Mohd Sani, ilmu kimia adalah satu cabang penting dalam bidang STEM yang perlu lebih disemarakkan bagi melahirkan cendekiawan berkaliber, sehingga karya inovasi dan reka cipta mereka mampu mencapai pengiktirafan peringkat tertinggi seperti Hadiah Nobel.

“Kesukaran mempelajari ilmu kimia harus dilupuskan dan digantikan dengan konsep ‘Kimia Is Awesome’.

“Pihak industri dan badan berwajib juga perlu memainkan peranan penting dalam mempromosikan ilmu ini serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan yang berorientasikan kimia,” tambah Dr. Mohd Sani.

Pemilihan kedua-dua pensyarah itu dilakukan secara teliti oleh panel juri yang diketuai oleh Pendaftar Bersama Majlis Eksekutif IKM yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Pihak IKM dalam satu kenyataan turut menekankan bahawa pencapaian tersebut membuktikan perkembangan pesat ilmu kimia di Borneo, sekali gus memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan industri dalam memperkasa bidang kimia serta pembangunan modal insan berkualiti.

IKM turut berharap pencapaian tersebut akan memberi inspirasi kepada generasi muda dan komuniti saintifik untuk terus berinovasi serta menyumbang kepada kemajuan negara.