Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar sejarah baharu dalam perjalanan inovasi apabila melancarkan tiga syarikat pemula perniagaan (start-up) perintis di bawah Dasar Start-Up dan Spin-Off (SUSO) baru-baru ini.
Langkah ini dilihat sebagai manifestasi komitmen universiti dalam menterjemahkan kepakaran akademik kepada penyelesaian berimpak tinggi untuk masyarakat dan ekonomi.
Tiga syarikat yang dilancarkan ialah U Agro Resources Sdn. Bhd., yang memberi tumpuan kepada teknologi akuakultur mampan; Geo-Rintis Consultant & Services Sdn. Bhd., yang menawarkan khidmat perundingan geo-mapping; dan EcoInnovate Solutions Sdn. Bhd., yang membangunkan teknologi hijau untuk komuniti dan industri.
Penubuhan tersebut menandakan langkah berani UMS ke arah menjadi peneraju serantau dalam ekosistem inovasi yang digerakan universiti.
Timbalan Naib Canselor UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly berkata, pelancaran tersebut mencerminkan usaha universiti memupuk budaya inovasi, keusahawanan dan kelestarian dalam kalangan warga akademik.
“Warga akademik kita bukan sahaja menghasilkan ilmu, malah turut mencipta penyelesaian yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan ekonomi,” katanya.
Dasar tersebut menyediakan rangka kerja tersusun bagi membolehkan penyelidik menubuhkan entiti perniagaan sah dengan sokongan institusi, selaras dengan misi UMS dalam pembangunan mampan, pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti.
Dengan penubuhan syarikat-syarikat itu, UMS dijangka membuka peluang baharu dalam kerjasama penyelidikan, penciptaan pekerjaan serta pengkomersialan, seterusnya memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab teknologi lestari dan perusahaan berasaskan ilmu.