Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Raman Noordin menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung penyaluran peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan yang dikenali sebagai Dapur Siswa MADANI.

Menurut Raman, penyaluran peruntukan tersebut mencerminkan keprihatinan serta komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara, khususnya dari aspek keperluan asas makanan.

Katanya inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan diperluaskan ke seluruh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) amat bertepatan dalam menangani isu ketidakjaminan makanan dalam kalangan pelajar, sekali gus memastikan mahasiswa dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pembelajaran dan pembangunan diri di menara gading.

"Selari dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) telah mengambil langkah proaktif awal dengan menubuhkan Dapur Siswa di dua buah kolej kediaman di Kampus induk Kota Kinabalu yang telah mula beroperasi pada 24 November 2025.

"Pada masa kini, Dapur Siswa di Kolej Kediaman UMS Kampus Antarabangsa Labuan sedang dalam pembinaan dan dijangka akan siap pada bulan Februari 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan sokongan kebajikan pelajar.

"Inisiatif ini akan terus diperkasa dan diperluas ke Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara lebih menyeluruh dan inklusif," katanya.

Tambah Raman, bagi menjamin kelangsungan operasi Dapur Siswa, pelbagai kempen telah dilaksanakan seperti Kempen 1 Staf 1 Kampit Beras dan penubuhan Tabung Amanah Dapur Siswa.

"Kempen ini turut menggalakkan kakitangan dan masyarakat sekitar memberikan sumbangan selain mewujudkan masyarakat yang prihatin dan meningkatkan ‘sense of belonging’ di kalangan kakitangan.

"Sejak diperkenalkan, Dapur Siswa telah menerima sebanyak 1150 Kilogram beras (115 kampit beras) yang telah dimanfaatkan oleh sekitar 3500 pelajar.

"Dengan peruntukan khas yang disalurkan oleh YAB Perdana Menteri melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), akan lebih ramai mahasiswa yang boleh dibantu khususnya di UMS yang 70 peratus pelajar adalah dari kalangan B40. Peruntukan khas ini akan dapat membantu Universiti dalam memperkasa Dapur Siswa sedia ada serta dapat membantu untuk kelangsungan operasi Dapur Siswa,"katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi atas keprihatinan beliau merayu kepada YAB Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan ini.

Tambah beliau, pihak universiti melalui entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni akan terus menyokong dan bekerjasama rapat dengan KPT serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan tiada mahasiswa yang tercicir daripada mendapatkan keperluan asas sepanjang tempoh pengajian, selaras dengan aspirasi pembentukan ekosistem pembelajaran yang sejahtera dan berteraskan nilai MADANI.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menyuntik minat dan bakat kanak-kanak terhadap kesusasteraan melalui pelaksanaan pertandingan deklamasi sajak, bercerita dan nyanyian anjuran Program Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS.

Program Hari Sastera Kanak-kanak itu disertai oleh kira-kira 30 kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun di sekitar Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kota Marudu, baru-baru ini.

Ketua Program PAKK UMS, Dr. Mohd Zafaren Zakaria yang merasmikan program tersebut berkata pendedahan awal terhadap sastera berupaya menyokong perkembangan akademik kanak-kanak di samping memelihara warisan budaya dan jati diri bangsa.

“Melalui pertandingan yang dianjurkan, kanak-kanak bukan sahaja diasah dari aspek bahasa dan komunikasi, malah dilatih untuk berani tampil ke hadapan, membina keyakinan diri serta menghargai nilai budaya dan kesusasteraan.

“Para peserta menunjukkan tahap keyakinan yang memberangsangkan dengan mengenakan busana kreatif dan menarik sepanjang pertandingan berlangsung.

“Sokongan padu daripada ibu bapa turut menyumbang kepada kejayaan penganjuran program ini, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran yang positif dan kondusif,” katanya.

Tambahnya maklum balas yang diterima daripada ibu bapa amat menggalakkan, dengan kebanyakan mereka menyatakan rasa bangga terhadap keberanian dan peningkatan keyakinan diri anak-anak hasil penyertaan dalam program tersebut.

Sementara itu, Penasihat Program Hari Sastera Kanak-kanak, Dr. Juppri Bacotang berkata penganjuran program tersebut turut memberikan nilai tambah yang signifikan kepada mahasiswa PAKK UMS yang terlibat sebagai fasilitator dan penganjur.

“Penglibatan mahasiswa dalam program ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi sebenar, khususnya melalui interaksi langsung bersama kanak-kanak dan komuniti luar.

“Ia merupakan platform penting dalam pembangunan kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan masa dan kerja berpasukan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Sharifah Nurhakimah Ilasam merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh semua pihak dalam menjayakan program ini, terutamanya kepada semua pelajar program PAKK.

“Pihak kami juga amat menghargai kepercayaan ibu bapa serta sokongan berterusan daripada rakan mahasiswa, para pensyarah dan penaja yang telah bersama-sama memastikan kejayaan penganjuran program ini.

“Kami menghargai sokongan daripada rakan strategik seperti UMSFLEC, Iztanburg, Page Eight, Rosemary, Aeon Fantasy Kidzoona, Inomax, Kelab Belia Dinamik, PIBG TABIKA KEMAS PPR Taman Korongkom Jaya B, serta pihak-pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” ujarnya.

Penganjuran Program Hari Sastera Kanak-kanak ini mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam menyokong pembangunan holistik kanak-kanak, memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat, serta memperkasa peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan dan pendidik yang berkualiti, berdaya saing dan berjiwa masyarakat.

 

Inisiatif menerusi Program Native Sabahan Beadswork yang diadakan di Bangunan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini mampu memperkenalkan serta memartabatkan seni kraf manik tradisional masyarakat pribumi Sabah.

Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar (UPPLB) FPPS, Profesor Madya Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, program anjuran UPPLB itu turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai nilai budaya serta identiti warisan tempatan yang menjadi asas kepada pembentukan jati diri masyarakat Sabah.

“Program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal dan berasaskan pengalaman.

“Menerusi penyertaan seramai 16 peserta yang turut melibatkan pelajar Fakulti Sains, National University of Singapore (NUS), ini sekali gus berperanan sebagai platform pertukaran budaya dan pengetahuan antara institusi antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dari FPPS kepada pelbagai pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menyokong dan menjayakan program tersebut.

“Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyokong usaha pemeliharaan dan pelestarian warisan budaya Sabah,” ujar beliau.

Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Dekan FPPS, Profesor Madya Dr. Soon Singh a/l Bikar Singh yang turut menyempurnakan penganugerahan sijil kepada peserta yang terlibat.

Hadir sama pada majlis tersebut Pensyarah dari NUS, Dr. Shao Ting Hoong; setiausaha penganjur program, Mohamad Akmal Ariq Dzainuddin; dan dua tenaga pengajar pakar seni manik tradisional Sabah, iaitu Agnes Angkung dan Doris Sabala.

 

 

Kemasukan pelabur ke Sabah terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor perindustrian negeri, sekali gus menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh rantaian bekalan industri tempatan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata, sehingga suku kedua tahun 2025, Sabah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM11.368 bilion yang merangkumi pelaburan domestik dan asing dalam sektor Pembuatan, Perkhidmatan dan Sektor Utama.

“Daripada jumlah tersebut, sektor Pembuatan menerima pelaburan tertinggi sebanyak RM7.472 bilion, diikuti sektor Perkhidmatan RM3.139 bilion, manakala sektor utama termasuk perindustrian, pelancongan dan pertanian menyumbang RM757 juta.

”Pencapaian ini meletakkan Sabah di kedudukan kelima tertinggi penerima pelaburan di Malaysia, mengatasi jumlah pelaburan 2024 sebanyak RM6.458 bilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Dr Kasim yang juga merupakan penganalisis ekonomi memberitahu, kemasukan pelaburan berskala besar berkenaan turut memberi kesan langsung kepada pembangunan industri sokongan seperti perkhidmatan logistik, pembekalan bahan mentah serta pengukuhan ekosistem industri di Sabah.

Menurutnya, antara pelaburan utama yang menjadi pemangkin pertumbuhan industri ialah pelaburan fasa satu Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. dari Singapura bernilai RM6.592 bilion bagi pembinaan kilang pembuatan keluli hijau di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.

“Pembangunan industri berimpak tinggi ini bukan sahaja meningkatkan daya saing ekonomi negeri, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan nilai tambah tempatan.

“Kemasukan pelabur strategik ke Sabah meletakkan negeri ini pada landasan yang lebih kukuh sebagai destinasi pelaburan perindustrian, selari dengan keperluan pembangunan jangka panjang dan aspirasi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Kasim menyifatkan Belanjawan Sabah 2026 mampu mempercepatkan pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, belanjawan tersebut menumpu kepada keseimbangan sosioekonomi, memperkasa modal insan, meningkatkan infrastruktur asas serta memperkukuh kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

”Kerajaan mencadangkan anggaran Perbelanjaan Perbekalan sebanyak RM6.402 bilion dengan Anggaran Hasil RM6.430 bilion, sekali gus mencatat lebihan belanjawan RM28 juta.

”Tumpuan belanjawan ini adalah kepada program dan aktiviti berorientasikan pembangunan jangka panjang untuk menjana pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kemudahan awam.

”Belanjawan ini berupaya mendepani cabaran tahun 2026 seiring pengukuhan asas fiskal dan peningkatan pelaburan, didorong oleh pemulihan sektor pelancongan, pertumbuhan aktiviti perdagangan serta peningkatan guna tenaga,” tambah Dr Kasim.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) merancang untuk menyediakan Program Dapur Siswa di semua kolej kediaman secara berperingkat sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terus terpelihara.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansur berkata, inisiatif itu bukan sekadar tertumpu kepada kampus induk, malah turut melibatkan kampus luar termasuk Labuan dan Sandakan.

Katanya, ia adalah selaras dengan komitmen universiti bagi menyediakan kemudahan yang inklusif kepada seluruh warga mahasiswa.

“Sebagai perancangan awal, kita telah mengenal pasti beberapa lokasi strategik, termasuk penyediaan dapur siswa dan siswi secara berasingan di kampus Labuan serta kemudahan serupa di Kampus Fakulti Pertanian Lestari di Sandakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi lawatan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib ke Dapur Siswa UMS di sini.

Kasim berkata, UMS turut merancang untuk melaksanakan Dapur Siswa di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae yang terletak di kampus induk menempatkan seramai lebih 3,000 pelajar.

“Kita turut merancang untuk melaksanakan program sama di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae yang menempatkan lebih 3,000 pelajar, bagi memastikan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan oleh bilangan pelajar yang lebih besar,” katanya.

Beliau menjelaskan, kemudahan dapur siswa akan beroperasi dari waktu pagi hingga tengah malam selain dilengkapi sistem keselamatan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjamin keselamatan serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.

“Penyediaan dapur siswa ini adalah pelaburan jangka panjang universiti untuk memastikan keperluan asas pelajar sentiasa terjamin,” katanya.

 

Sumber: Sabah Media

Halaman 1 dari 868