Lawatan delegasi Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Universitas Brawijaya (UB) dan Universitas Islam Malang (UNISMA) baru-baru ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh jaringan kerjasama penyelidikan dan akademik antara Malaysia dan Indonesia.

Delegasi UMS terdiri daripada Dekan FSMP, Profesor Ts. Dr. Hasmadi Mamat; Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Halal, Dr. Mohd Hazim Mohd Yusop; serta Penyelaras Mobiliti FSMP, Ts. Dr. Ahmad Hazim Abdul Aziz.

Menurut kenyataan dari FSMP, delegasi FSMP turut menghadiri 6th International Conference on Fisheries and Marine Research (ICoFMR 2025) anjuran Universitas Brawijaya ketika berada di Malang, Indonesia.

Dalam sesi tersebut, perbincangan dua hala telah diadakan bagi meneroka potensi penyelidikan dan penerbitan bersama serta pelaksanaan program mobiliti staf dan pelajar antara UMS dan Universitas Brawijaya.

Ketibaan delegasi UMS di Universitas Brawijaya telah disambut oleh Rektor UB, Profesor Dr. Widodo, dan Dekan Fakultas Perikanan dan Ilmu Kelautan, Profesor Dr. Ir. Asep Awaludin Prihanto.

Kedua-dua pihak menzahirkan komitmen untuk memperkukuh hubungan penyelidikan dan akademik dalam bidang sains makanan, halal, perikanan, dan inovasi sumber marin.

Sementara itu, kunjungan UMS ke UNISMA memberi fokus kepada pembangunan dan inovasi produk berasaskan madu, termasuk potensi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan produk makanan berfungsi.

Lawatan rasmi itu menjadi titik tolak kepada hubungan strategik jangka panjang antara UMS, UB, dan UNISMA, ke arah pembangunan lestari serantau melalui pengukuhan bidang sains makanan, halal, perikanan dan sumber marin.

 

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universitas Pembangunan Nasional “Veteran” Jakarta (UPNVJ), Indonesia telah menganjurkan Program Kesihatan Komuniti di Sekolah Kebangsaan (SK) Unggun Menggatal baru-baru ini.

Menurut Profesor Madya Dr. Abdul Rahman Ramdzan dari FPSK UMS, program bertemakan “Enhancing Health Resilience in School Communities: Preventing Obesity and Anaemia through Education and Awareness in the Era of Climate Change” itu bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan serta memperkukuh ketahanan komuniti sekolah terhadap isu obesiti dan anemia melalui pendidikan serta aktiviti interaktif.

“Program ini bukan sekadar memberi pendedahan tentang kepentingan kesihatan, malah menggalakkan pelajar mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti seperti saringan kesihatan, ceramah pemakanan seimbang, senaman pencegahan obesiti serta kuiz kesihatan,” katanya.

Beliau menambah, pendidikan kesihatan di peringkat sekolah merupakan langkah paling berkesan dalam membentuk generasi berdaya tahan dan celik kesihatan pada masa hadapan.

“Apabila kanak-kanak diterapkan dengan ilmu dan amalan kesihatan sejak kecil, mereka bukan sahaja membentuk tabiat positif untuk diri sendiri, tetapi juga mampu menjadi ejen perubahan dalam komuniti masing-masing,” katanya.

Sementara itu, wakil UPNVJ, Dr. Riswandy Wasir menyifatkan kolaborasi antara universiti serantau seperti UMS dan UPNVJ amat penting dalam memperkukuh penyelidikan serta pendidikan kesihatan rentas sempadan.

“Perubahan iklim memberi kesan langsung kepada status kesihatan masyarakat.

“Justeru, inisiatif bersama ini membuka ruang untuk pertukaran ilmu dan usaha kolektif dalam memperkukuh daya tahan komuniti terhadap cabaran tersebut,” ujarnya.

Delegasi UMS dan UPNVJ turut mengadakan mesyuarat kolaborasi akademik di Kampus Induk UMS bagi membincangkan pelan penyelidikan bersama, penerbitan ilmiah serta pelaksanaan program komuniti masa hadapan di Sabah dan Indonesia.

Program itu turut disertai oleh para pelajar, guru dan fasilitator dari kedua-dua universiti, sekali gus memperkukuh hubungan akademik Malaysia–Indonesia dalam bidang kesihatan masyarakat dan adaptasi perubahan iklim.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadikan kawasan Pantai Dalit di Tuaran sebagai Makmal Hidup (Living Lab) baharu universiti sebagai usaha untuk membantu pembangunan pelbagai aspek masyarakat di kawasan tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, ini termasuk mengadakan program pemindahan ilmu di kawasan tersebut.

“UMS akan menjadikan Dalit sebagai Living Lab dalam usaha melaksanakan pelbagai aktiviti yang boleh membantu memajukan masyarakat setempat.

“Setiap program di kawasan tersebut akan dilaksanakan sebaiknya bagi memastikan universiti mampu membantu dalam aspek ekonomi dan perancangan strategik untuk komuniti di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan merasmikan Kejohanan Bola Sepak Dalit Cup sempena Program Living Lab @ Dalit di Stadium UMS.

Beliau menambah, universiti perlu terus memainkan peranan memajukan masyarakat dengan mengadakan kerjasama erat dengan komuniti setempat.

“Justeru itu, penganjuran Dalit Cup ini menjadi salah satu kaedah bagaimana universiti dapat membantu menerapkan kaedah penganjuran sukan dalam kalangan belia, sekali gus mewujudkan hubungan erat antara universiti dan masyarakat,” ujarnya.

Pada kejohanan tersebut, sejumlah tujuh pasukan yang terdiri daripada Pasukan Tuaran Bandar, Gayang, Berunggis, Mengkabong, Marabahai, Telipok dan Nongkolud berentap bagi merebut tempat sebagai juara Dalit Cup.

Hadir sama pada acara tersebut Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin; Pengarah Bahagian Perkhidmatan Penyelidikan dan Inovasi, Mohd. Raffie Janau; dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Rizal Zamani Idris.

 

Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Smart Community (SMARTCOM) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik, Tawau.

Prof. Madya Ts. Dr. Nur Fadilah Darmansah selaku wakil Pengetua KKTM berkata, program tersebut antara lain bertujuan meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai teknologi moden serta memperkukuh hubungan erat antara universiti dan komuniti setempat.

“Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan nilai kesukarelawanan melalui aktiviti berbentuk pendidikan, sosial dan kemasyarakatan yang dijalankan bersama komuniti tempatan.

“Di samping itu, ini juga bagi memberi pendedahan kepada masyarakat luar bandar terhadap kepentingan teknologi dan pendidikan dalam pembangunan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan selepas menyempurnakan perasmian penutupan program tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Program SMARTCOM 2025, Clearin Johinis, memaklumkan seramai 400 penduduk Pulau Sebatik termasuk 113 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay dan 50 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Wallace Bay telah menyertai program tersebut.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah projek pengecatan mural di Balai Raya Kampung, gotong-royong baik pulih Dewan Wawasan Kampung Wallace Bay, Bengkel Hidroponik oleh Malaysian Relief Agency (MRA), Bengkel Penternakan Ketam yang dikendalikan oleh Harris Palbis dari Jabatan Perikanan Sabah, Slot Plastic Awareness, serta Malam Kebudayaan dan Riadah Santai bersama penduduk kampung.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami realiti kehidupan masyarakat luar bandar yang serba kekurangan namun kaya dengan semangat perpaduan dan nilai budaya,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk UTM, MRA, Jabatan Perikanan Sabah, Petronas serta komuniti Kampung Wallace Bay atas sokongan padu menjayakan program ini.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai platform membina masyarakat berilmu, progresif dan berdaya saing melalui kerjasama antara universiti dan komuniti,” ujarnya.

 

 

Seramai 15 pelajar Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menjayakan Program Kembara Keusahawanan III di Universiti Ton Duc Thang (TDTU), Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa UMS melaksanakan program bertaraf antarabangsa dengan cemerlang.

Program ini dirancang sepenuhnya oleh pelajar selama enam bulan, dengan objektif memperkukuh kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, dan komunikasi, di samping memupuk kreativiti serta kefahaman silang budaya dalam kalangan peserta.

Ketua Program Kejuruteraan Minyak dan Gas, Dr. Nurfazliana Abdullah, berkata program seperti ini mampu membuka peluang luas serta memberi nilai tambah kepada pelajar.

“Ruang kerjasama di antara TDTU dan UMS melalui program mobiliti ini memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pemikiran dan budaya berbeza, peluang berinteraksi dengan pelajar antarabangsa serta pasaran kerja global,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program, Nurul Nazirah Sawal berkata, kembara tersebut membuka ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah kepada realiti dunia sebenar.

“Sepanjang enam bulan perancangan hingga ke pelaksanaan di Ho Chi Minh, kami belajar untuk mengurus program secara menyeluruh daripada komunikasi rasmi, pengurusan bajet, sehinggalah kepada koordinasi aktiviti di lapangan.

“Pengalaman ini mengajar kami erti berdikari dan kepimpinan sebenar. Setiap ahli pasukan memainkan peranan penting, dan semangat berpasukan inilah yang menjadikan misi kami berjaya.

“Kami juga berpeluang melihat sendiri budaya keusahawanan di Vietnam yang sangat progresif, dan ia memberi inspirasi kepada kami untuk membawa idea baharu ke UMS dan ke Malaysia,” tambahnya.

Kemuncak program ialah Bengkel Pertukaran Akademik antara UMS dan TDTU, dengan ketibaan delegasi UMS disambut oleh Dekan Fakulti Alam Sekitar dan Keselamatan Pekerja TDTU, Dr. Ho Ngo Anh Dao.

Dalam bengkel tersebut, Ketua Program Kejuruteraan Mekanikal, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim, menyampaikan syarahan bertajuk “International Student Mobility in the Faculty of Engineering, UMS”.

Pembentangan itu bertujuan mempromosi UMS sebagai destinasi pilihan bagi aktiviti mobiliti berkredit di rantau Asia Tenggara.

Sepanjang kembara, pelajar terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke pasar tradisional, pertandingan fotografi, penerokaan produk pelancongan Vietnam serta aktiviti pertukaran budaya bersama pelajar TDTU.

Kembara Keusahawanan III merupakan kesinambungan daripada program terdahulu yang dilaksanakan di Hatyai, Thailand dan Batam, Indonesia.